Category Archives: Rencana

Warong Kai, Tarakan

Seawal jam tujuh pagi, aku sudah berada di bukit Desa Amal, Tarakan. Di puncak bukit, Warong Kai menjadi tempat persingahan untuk kudapan. Kopi o, telur ayam kampung berserta beraneka snek cucur menjadi hidangan pagi yang menyelerakan. Angin samudra Sulawesi berhembus menyeliputi Warong Kai tempat kami santai sambil menikmati keindahan alam. Beberapa buah pondok ala teratak serta pondok yang hanya boleh diisi oleh dua orang atau layaknya bagi mereka yang berpasangan atau sejoli menikmati juadah sambil menikmati keindahan pemandangan berderetan di lereng bukit. Kata empunya warung, warung ini sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada malam minggu. Namun begitu, pada pagi kami singgah di warung tersebut, pemiliknya baru sahaja bersiap sedia untuk melayan pelanggan kerana di Tarakan kedai-kedai makan mula beroperasi pada jam lapan pagi kecuali warung-warung di halaman rumah. Aku amat teruja menikmati kudapan sambil merenung pemandangan pantai yang indah.

Leave a comment

Filed under Kenangan, Rencana

Medamit, Limbang

Medamit, terletak di pedalaman Limbang yang boleh diziarahi menggunakan perhubungan jalan raya selain daripada perhubungan sungai. Jalan raya  menuju perkampungan  ke Medamit sudah dibubuh batu dan tar, walaupun tidak sebaik mana, perhubungan tersebut memudahkan bagi orang luar mengunjunginya.  Sesampai di Medamit setelah melintasi beberapa buah kampung yang mana  sepanjang jalan dihiasai oleh kehijauan tumbuhan  pertanian dan tumbuhan khatulistiwa  yang semulajadi. Orang tempatan kebanyakannya berbangsa Iban. Bahasa Iban menjadi bahasa komunikasi penduduk di sana, tauke Cina di kedai runcit begitu fasih berbahasa Iban ketika berurus niaga dengan orang tempatan. Terdapat dua buah bangunan kedai  di Medamit yang kebanyakannya tidak beroperasi. Namun begitu kedai runcit kepunyaan tauke Cina sudah memadai dan mencukupi untuk orang tempatan membeli keperluan seharian mereka.

Berdekatan dengan kawasan kedai tersegam Sekolah Menegah Kebangsaan Medamit yang mana sekolah inilah antara sekolah yang terbesar di Daerah Limbang. Oleh kerana Medamit terletak di kawasan pedalaman tidak hairan jika rumah penginapan mereka  dibina ala kadar sahaja terutama rumah-rumah di hujung  perkampungan. Hanya sebuah surau terletak di kawasan sekolah manakala di sepanjang jalan beberapa buah gareja yang menunjukkan penghuni di kawasan Medamit ramai yang menganut agama  Kristian malahan ada yang berpegang kepada amalan Bahai, ini amat jelas kerana terdapat komuniti Bahai di sana, sedangkan kepercayaan Bahai diwartakan sebagai amalan sesat: http://www.sabah.edu.my/cwm010/ajaransesat.htm

Leave a comment

Filed under Kenangan, Rencana

Sibu

Sibu bolehlah dikatakan sebagai kota Iban. Bahasa Iban menjadi bahasa dominan untuk berkomunikasi, bukan sekadar orang Iban malahan juga bagi puak dan bangsa lain, mereka fasih berbahasa Iban. Selain kota Iban, amat jelas Sibu juga didominan oleh agama Kristian. Gereja di tengah kota Sibu berdiri megah menandakan agama Kristian bertapak kuat di sana jika dibandingkan dengan agama Islam, masjid jamek Sibu begitu kerdil terselindung di sebalik bangunan kosmopolitan tidak ubah umpama surau kampungan.

Bandar Sibu kalau dulu terkenal dengan kota gengster, kerana ramai penjenayah yang dibuang daerah ditempatkan di Sibu. Namun akhir-akhir ini kota Sibu semakin bersih daripada kes jenayah. Orang-orang yang menatap di sana ramah tamah, suka berbual mesra terutama para peniaga. Seawal pagi para peniaga yang tidak mempunyai tempat tetap berniaga sudah sibuk menyediakan tempat berniaga sementara di luar kawasan pasar rakyat.

Beraneka jenis hasil pertanian dijual di pasar basah, aku sempat membeli buah mata kucing hijau, udang galah untuk kubawa pulang, udang galah sungai Rajang yang besar memang popular di Sibu. Aku sempat membeli beraneka ramuan kayu dengan harga yang berpatutan daripada peniaga berketurunan Iban. Penjual ramuan herba begitu asyik menceritakan tentang pengalamannya sebagai pencari herba akar-akar dan pokok-pokok kayu asli di kawasan hutan Sarawak malahan dia pernah berguru dengan orang Islam antara isi pelajaran yang tertara pada carikan kertas yang disimpan dalam dompetnya ialah tentang membenarkan akan  Allah SWT sebagai Tuhan yang Esa dan kenabian Nabi Muhammad SAW.

Selain membeli belah di kawasan pasar basah, berderetan kedai juga menjual barang keperluan yang berpatutan harganya. Sekiranya hendak bersarapan pagi atau minum petang, minum teh tarik dan roti canai di kawasan gerai bulat yang pemiliknya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam begitu enak sekalipun kawasan di sana begitu terhad. Makan di KFC atau di Suger Bun sudah memadai sekiranya kita mahu menjaga kebersihan dan kesihatan, selain makan di restoran Nyonya milik Indian Muslim di kawasan bangunan HSBC juga antara restoran yang terbaik di Sibu.

Di bahagian sungai Rajang kita dapat menyaksikan berbagai aktiviti orang tempatan yang turun naik di pelabuhan ferri. Ada juga beberapa orang meluangkan masa memancing di kawasan peranginan  sepanjang sungai Rajang. Selain bandar Sibu yang asal terdapat juga kawasan baru yang di kenali sebagai Sibu Jaya namun begitu Sibu Jaya tidaklah seluas dan sehebat bandar Sibu.

 

1 Comment

Filed under Kenangan, Lensa, Rencana

Taman Rekreasi Herba, Kg. Putat

Kampong Putat, kampung yang aman dan tenteram, jauh daripada kesibukan hiruk-pikuk pembangunan dan pencemaran alam. Jalan penghubung ke kampung tersebut agak baik kerana sudah dibubuh tar. Di hujung kampung bersempadan dengan Limbang, malahan pusat pemereksaan imigeresen terletak di hujung kampung. Kawasan taman Herba hanya beberapa meter sebelum sampai ke kawasan sungai. Suasana sekitar kampung yang menghijau dengan tumbuhan asli sangat sesuai untuk beriadah. Di negara ini, Taman Rekreasi Herba adalah salah satu tempat riadah yang paling menarik untuk dikunjungi. Beraneka jenis pokok herba tumbuh menghijau di taman tersebut. Pondok-pondok, denai bersemen,  bangku serta kemudahan yang lain sudah disediakan untuk para pengunjung.

Waktu senja, ketika aku di sana, hujan yang sudah menyirami bumi sejak tengah hari belum reda. Kesejukan hawa yang dirembuni pepohon menghijau beserta deretan pokok-pokok herba menghiasi alam menambahkan lagi kesegaran pada waktu itu. Air hujan penyubur tanah dan menggilap dedaun herba semakin segar.Oleh kerana hujan turun tanpa henti aku tidak berpeluang untuk meneroka keseluruhan kawasan. Aku berazam untuk ke sana lagi untuk menikmati keindahan alam serta meneroka taman rekreasi herba yang dapat memberi ilmu pengetahuan tentang jenis-jenis pokok herba yang selama ini tidak kuketahui.

Leave a comment

Filed under fotorafi, Rencana, Renungan

Kanowit

Knowit, pekan yang terpencil di pedalaman Sarawak. Bahasa Iban menjadi bahasa komunikasi orang-orang di pekan Kanowit. Pekannya kecil, hanya terdapat beberapa deretan kedai runcit, namun sudah cukup untuk memenuhi keperluan orang kampung membeli belah. Berdekatan dengan kawasan kedai terdapat juga sebuah masjid yang kecil menandakan terdapat juga orang Islam bermastautin di sana terutama para penjawat awam yang bertugas di sana malahan  gerai makcik Melayu yang menjual goreng pisang, karipap dan kuih muih begitu laris dibeli oleh orang tempatan.

Orang-orang di Kanowit begitu ramah, suka bertegur sapa, ringan mulut dan tidak camah mata, ini  membuktikan mereka masih mengamalkan sikap dan budaya kekeluargaan dalam masyarakat Kanowit. Mungkin dikeranakan pekan ini kecil membuatkan mereka sudah mengenali kesemua warga yang menjadi penghuni tetap pekan kecil ini sekalipun mereka datang dari berlainan kampung terpencil yang terpaksa menggunakan bot atau perahu untuk sampai ke pekan ini.

Hujan yang lebat menyambut kedatanganku di sana membuatkan cuaca tangah hari yang panas bertukar menjadi dingin ditambah lagi dengan percikan hujan yang membasahi seluruh badan beserta angin menambahkan lagi kedinginan. Hujan bukanlah penghalang untukku menikmati keindahan pekan Knowit, berjalan-jalan di tebing sungai Knowit  berdekatan jetti penurunan penumpang terdapat tamu  atau bazar  kecil yang menjual beraneka pakaian dan keperluan seharian masyarakat. Aku sempat membeli beberapa set lampu suluh  dan lampu suluh yang boleh dicharge dan boleh digunakan sehingga 120 jam untuk kuhadiahkan kepada adikku bagi kegunaannya ‘nyuluh duyan’ atau ‘nyuluh pelanduk’.  Setelah puas berjalan-jalan di pekan Knowit yang kecil dengan berbagai kenangan dan pengalaman baru, aku meninggalkan pekan tersebut berserta iringan hujan yang lebat.

Pintu gerbang pekan Knowit.

Pekan Kanowit boleh didatangi melalui sungai dan juga jalan raya.

Deretan kedai di pekan Knowit.

Bersantai sambil menunggu bot.

Berteduh sementara menunggu hujan reda.

Di kaki lima, para pengunjung pekan mundar mandir sementara menunggu hujan reda.

Leave a comment

Filed under fotorafi, Kenangan, Rencana

Lahat Datu

Lahat Datu hanyalah sebuah pekan kecil yang  posisinya menghala ke laut Celebes, tidak hairan jikalau harga ikan, udang dan tangkapan laut yang lain begitu murah. Lahat Datu terletak  timur Sabah antara Samporna dan Sandakan merupakan sebuah daerah yang mempunyai nilai sejarah tersendiri. Lahad Datu, semasa pemerintahan Chartered Company, merupakan tempat persinggahan datu-datu daripada kesultanan Sulu. Lahad berasal dari perkataan suku Βajau-Ѕinama, yakni bermaksud tempat atau negeri, mana kala Datu, merupakan Кeturunan Βangsawan mahupun yang sudah lama menetap di daerah ini khususnya ketua-ketua suku kaum atau Panglima dan Pembesar daerah. Sepanjang perjalanan di Lahat Datu sentiasa dilambai oleh dedaun dan pelepah sawit.  Lahat Datu tidaklah sepopular Samporna untuk penyelam  skuba walaupun di sana terdapat pulau yang menarik untuk penyelam skuba, namun begitu para pencinta alam pasti akan tertarik dengan keindahan  alam semula jadi di Hutan Simpan Lahad Datu, Lembah Danum, Gua Madai dan Taman Hidupan Liar Tabin.

Leave a comment

Filed under Rencana

Bukit Tengkorak: Samporna

Setelah mendaki Bukit Tengkorak dan menyaksikan keindahan alam semula jadi Samporna, aku melepaskan lelah sambil minum air kelapa muda yang dijual di kawasan pintu masuk ke Muzium Bukit Tengkorak. Air kelapa sebiji RM1.50 dan sekiranya kelapa tersebut terlalu muda hingga belum ada isi di dalamnya hanya di cas RM1.

http://www.newsabahtimes.com.my menjelaskan, “Bukit Tengkorak terletak kira-kira 500 kaki d atas paras laut di pesisiran pantai Semporna, Timur Sabah (Utara 4 27’ 20.08” dan 118 37’ 04.3” Timur). Bukit Tengkorak merupakan tapak pelindung gua batuan volkanik dan sebahagian daripada bibir gunung berapi yang berdiameter sekitar 2 kilometer.

Kajian arkeologi yang sistematik dan saintifik telah dijalankan di Bukit Tengkorak dan kawasan sekitar daerah Semporna oleh sekumpulan Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah semenjak 1994 hingga hari ini.

Hasil kajian arkeologi yang diperolehi menunjukkan bahawa Bukit Tengkorak merupakan sebuah tapak pembuatan tembikar prasejarah yang terbesar di Asia Tenggara. Antara bukti arkeologi yang telah ditemui terdiri daripada ribuan serpihan tembikar prasejarah dan tanah liat yang digunakan untuk pembuatan tembikar. Selain itu, kajian etnoarkeologi menunjukkan bahawa teknologi pembuatan tembikar masih lagi diamalkan sehingga hari ini oleh masyarakat Bajau di Semporna.

Ekskavasi arkeologi di Bukit Tengkorak juga menunjukkan ia kaya dengan pelbagai artifak arkeologi seperti alat batu mikrolit (kecil), batu pemukul kulit kayu, beliung sisa-sisa tulang haiwan serta cengkerang dan tulang ikan laut. Asosiasi arifak-arifak berkenaan yang ditemui semasa ekskavasi menunjukkan bukti kewujudan aktiviti sibsisten seperti pemburuan haiwan dan penangkapan ikan serta pengumpulan cengkarang di laut.

Bukit Tengkorak merupakan sebuah tapak arkeologi yang penting di Malaysia dan Asia Tenggara. Kepentingan Bukit Tengkorak termasuk penemuan bukti dan hipotesis baru mengenai penghijrahan manusia dan perdagangan atau pertukaran maritime prasejarah di kepuluan Asia Tenggara dan Pasifik. Penyelidikan arkeologi di Bukit Tengkorak telah menemui bukti perdagangan laut yang terpanjang di dunia, iaitu dari Timur Sabah ke New Britain di Melanesia, sejauh lebih 3,500 kilometer kiria-kira 3,000 tahun dahulu.

Bukti ini secara tidak langsung mencadangkan bahawa lautan dari Melanesia ke kepulauan Asia Tenggara, 2,000 – 3,000 tahun sebelum Captain James Cook menjelajahi kepulauan Asia Tenggara dan lautan Pasifik pada 1768-1779. Bukit Tengkorak juga telah dikenal pasti sebagai salah satu tapak pembuatan tembikar tanah yang terbesar sekali di Asia Tenggara pada Zaman Neolitik. Berpuluh-puluh ribu serpihan tembikar tanah yang berusia 3,000 tahun dahulu dan dihiasi dengan pelbagai corak telah ditemui di tapak berkenaan.

Penemuan lain yang unik di tapak ini ialah industri pembuatan alat batu mikrolit yang diperbuat daripada batuan akik, cert dan obsidian. Industri alat batu mikrolit itu merupakan penemuan yang luar biasa dan jarang sekali ditemui di kepulauan Asia Tenggara.

Kajian arkeologi pada 2002 hingga 2006 di tapak Melanta Tutup, sebuah tapak baru yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Bukit Tengkorak juga telah mendedahkan bukti baru mengenai kewujudan manusia prasejarah manusia di daerah Semporna lebih 10,000 tahun dahulu pada Zaman Paleolitik sehingga Zaman Neolitik (3,000 tahun dahulu), Zaman Logam dan Zaman Sejarah Awal (1,000 tahun dahulu).

Bukti-bukti arkeologi yang ditemui semasa ekskavasi di tapak berkenaan ialah artifak prasejarah seperti pengebumian manusia dalam keranda kayu balak, tempayan, dan pengebumian lunjur, alat batu mikrolit yang dibuat daripada akik, cert dan obsidian, serpihan tembikar tanah dan batu, loceng gangsa, alat-alat besai, manik, dan sisa-sisa flora dan fauna seperti tulang haiwan, ikan dan cengkarang laut.

Kajian perbandingan jumpaan artifak seperti tembikar dan alat batu yang ditemui di Bukit Tengkorak menunjukkan banyak persamaan dengan artifak yang ditemui di tapak-tapak sezaman yang lain di Asia Tenggara dan lautan Pasifik. Kajian paleoantropologi dan perbandingan rangka-rangka manusia yang ditemui di Semporna dan tapak-tapak lain di Asia Tenggara turut menyokong hipotesis migrasi dan penyebaran berleluasa populasi manusia prasejarah di Asia Tenggara pada Zaman Neolitik dan Logam.

Kajian sumber batuan dan artifak obsidian yang ditemui di Bukit Tengkorak turut mencadangkan kewujudan rangkaian perdagangan atau pertukaran dan pergerakan manusia secara jarak jauh melalui lautan antara kepulauam Asia Tenggara dan Pasifik seawal 3,000 tahun dahulu.

Leave a comment

Filed under Kenangan, Rencana

Adam’s Peak

Kami bertolak dari Colombo City seawal jam 4 pagi bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kota Colombo. Kami bersembahyang Subuh  di sebuah masjid dalam kawasan madrasah yang melimpasi sempadan pekan Colombo. Kami minum pagi di rumah salah seorang tenaga pengajar madrasah tersebut. Roti yang masih panas beserta kopi  o menembahkan tenaga sebelum meneresukan perjalanan ke kawasan pergunungan yang mana dikatakan Nabi Adam a.s turun di sana setelah keluar dari Syorga. Perjalanan  mengambil masa yang panjang, kawasan berbukit-bukau , bergunung-ganang serta jalan sempit yang berbengkang-bengkok.

Sepanjang perjalanan banyak yang kupelajari, aku dapat menyaksikan tembok-tembok gunung ganang seperti berbentuk singa, di kawasan sanalah rombongan Jemaah Haji Indonesia terhempas mensyahidkan keseluruh penumpang pada tahun 80-an. Selain itu, kebanyakan orang Sri Lanka berhati lembut, mereka sedia mendengar dan memberi respon sekiranya ditanya atau dibawa berbual. Cuaca yang dingin serta pemandangan yang menawan membuatkan aku tidak dapat melelapkan mata sepanjang perjalanan sehingga pulang semula ke Colombo city, ini bukan hanya didorong oleh keindahan alam semula jadi ciptaan Illahi tetapi juga rasa gementer melihat gaung di sepanjang perjalanan.  Sebelum sampai ke kawasan pergunungan ‘Adam’s Peak’ (untuk lebih faham bolehlah melayari dan  menggoogle Adam’s Peak) kami singgah di beberapa tempat; minum di warong kawasan kebun teh, singgah di madrasah Maulana Abdullah,  kami dijamu oleh budak-budak hafiz  Melayu  P.Pinang  dan Kedah yang menuntut di sana, kemudian singgah di Masjid untuk berjumpa Maulana Abdullah yang kebetulan beriktikab di masjid tersebut (aku lupa nama masjid, kawasan masjid agak jauh terpencil di kawasan pergunungan), melawat  lagi sebuah madrasah tidak jauh dari  masjid tersebut.

Kami singgah solat Zohor di masjid perkampungan kawasan gunung, selepas itu makan di restoran (orang Sri Lanka biasa menyebut restoran sebagai hotel). Restoran ini menyediakan makanan halal kerana pemiliknya orang Islam, namun begitu kalau orang luar sudah pasti tidak menyangka yang dikatakan restoran itu sebenarnya hanyalah rumah biasa, tanpa label Restoran. Untuk kami 12 orang bayarannya hanya lebih kurang BND 36 sedangkan kami memesan beraneka jenis masakan daging, ayam dan gulai. Hanya masakan di restoran tersebut agak pedas. Tidak heran kalau orang di sana sering menyebut makanan mereka sebagai masakan ‘Cili Lanka’ . Dua perkara identiti masakan Sri Lanka pertama masakan pedas kedua minuman  yang sangat manis. Di kejauhan aras belakang restoran tersegam gunung Adam’s Peak.  Untuk sampai ke sana memakan masa lebih kurang dua jam. Kami sampai di kaki gunung atau kawasan  penghujung jalan sebelum berjalan kaki untuk mendaki ke bukit tersebut lebih kurang pada pukul 4 petang. Kami tidak bercadang untuk mendaki  gunung tersebut. Aku begitu bersyukur telah sampai ke kawasan tersebut paling tidak aku masih dapat melihat gunung tempat bapa sekalian manusia pernah menjejakkan kakinya di sana.

Di belakang Restoran ternampak jelas Gunung Adams Peak.

 

Kawasan sungai di kaki gunung Adams Peak

 

Leave a comment

Filed under Rencana

Mengumbut Sawit

Mengumbut sawit bukanlah kerja mudah. Kemahiran dan tenaga amat diperlukan. Untuk perkara itu kami tidak ada masalah kerana pakar mengumbut apa-apa jenis umbut sama ada nibung, rumbia, jelayan, rotan, bengkala, palah malahan apa-apapun jenis tumbuhan yang boleh diumbut beliaulah pakarnya. Beliau memang mahir dalam hal umbut-mengumbut.

Di halaman rumah terdapat beberapa pohon sawit tumbuh subur. Bersempena, doa arwah buat  keluarga terdekat yang sudah kerahmatullah sepohon sawit dikorbankan untuk   masakan gulai semasa doa arwah beberapa hari sebelum bulan Ramadhan yang lepas. Al-Fatihah buat keluarga kami yang telah ke rahmatullah; ayahnda Hj Momin, nenda Hj Pakar, nenda Lauyah, nenda Asmat, nenda Muai, nenda Kuntum, tua hjh Tiara, adinda Hamdani, bungsu Mosli dan keluarga yang tidak diingat nama mereka serta kaum muslimin dan muslimat sekaliannya, semoga mereka mendapat keredaan Allah SWT. Amin!

Leave a comment

Filed under Kenangan, Rencana

Gamat Asli

Seorang kawan (Hj. Saleh)  yang baru pulang dari Langkawi memberi hadiah minyak gamat asli berserta buah tangan yang lain. Baru kelmarin dia berpindah kerja ke tempat lain. Kami hanya sempat berkerjasama dalam masa setahun. Orangnya senang senyum dan lemah lembut. Kata-kata hikmah beliau ialah, ” Apa jua kita ani mentimun.” Kata-kata hikmah ini penyebab beliau gigih bekerja dan tidak suka membantah apa yang diarahkan. Semoga beliau  terus berjaya dalam kerjaya yang diceburi.

Leave a comment

Filed under Rencana