Category Archives: Lensa

Pantai Amal Baru, Tarakan.

Membonceng motosikal di sepanjang pantai Amal, Tarakan sungguh membahagiakan. Aku dapat menikmati udara segar. Aktiviti rutin para penghuni pantai dapat kusaksikan. Para suri rumah menjemur ikan diiringi bau ikan masin dijemur menyucuk deria hidu. Para nelayan membubul pukat, mengusung jala, malahan sepanjang pantai kulalui pelbagai aktiviti yang para nelayan lakukan. Di pertemuan antara sungai dan laut, terdapat nelayan yang mengusahakan rumpai laut sedang gigih memunggah dan memuat turun rumpai untuk diniagakan. Aku sempat bersiar-siar sehingga ke hujung jalan perkampungan Amal Baru.

Leave a comment

Filed under fotorafi, Lensa

Senja di Pantai Jerudong

Sudah sekian lama aku tidak memfoto pada waktu senja, lebih-lebih lagi selepas fardhu Maghrib. Petang kelmarin aku terfikir untuk memfoto suasana waktu senja selepas fardu maghrib, aku mencari lokasi yang berdekatan dengan masjid ternyata di Pantai Jerudong ada surau berdekatan dengan pasar basah.  Bersolat di surau bukan seperti di masjid kerana di masjid sudah ada Imam khusus, sebaliknya di surau tidak begitu. Ketika aku hendak bersembahyang sudah ada beberapa orang Bangla bersembahyang, mereka solat berasingan aku menyangka mereka sembahyang sunat aku menunggu sehingga mereka selesai, ketika mereka selasai solat aku ingin tahu sama ada mereka sudah melakukan solat fardhu. Aku berasa hampa atas jawapan mereka, sepatutnya kalau ada beberapa orang dalam rumah ibadat yang afdhal ialah solat berjamaah bukan solat bersendirian. Antara beberapa orang Bangla tersisip juga seorang bangsa kita, Melayu yang juga sembahyang bersendirian yang selesai lebih awal  menyebabkan akhirnya aku juga terpaksa melakukan perkara yang sama kerana tiada orang lagi untukku solat berjemaah sekalipun masih masih ramai para peniaga dan pelanggan di pasar basah, namun tidak ada yang datang ke surau hatta  sehingga aku selesai mengerjakan solat Maghrib. Aku tidak dapat menafikan mereka sedang sibuk dan akan melakukan solat setelah pulang ke rumah, ditambah lagi ada sesetengah orang kita yang  cukup sekadar membaca “Subhanallah, Walhamdulillah, Wallahuakbar”sebagai pengganti sembahyang. Namun perintah Allah SWT, tetap perintah yang wajib dipatuhi. Dalam hal solat tiada kompromi.

Cahaya kemerahan beransur gelap, aku melangkah turun ke kawasan pantai, mujur ombak laut tidak begitu bergelora. Aku sempat memfoto ‘longshot’  ke arah barat. Tiada objek khusus selain tambak penghadang hakisan berserta beberapa pohon pokok. Aku pulang sebelum waktu Isya kerana selapas waktu tersebut seorang teman dari Belait berjanji untuk bertandang ke rumah.

Leave a comment

Filed under Lensa

Taman Haiwan Liar Lok Kawi

Taman Hidupan Liar Lok Kawi merupakan sebuah taman perlindungan yang terletak di Sabah, Malaysia. Taman Hidupan Liar Lok Kawi terletak di Putatan, hanya kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Taman Hidupan Liar Lok Kawi yang berkonsepkan dua jenis taman iaitu zoologi dan botani, telah dibuka secara rasmi pada Mac 2007 dengan memiliki keunikan dan keistimewaan sendiri kerana taman seluas 112 hektar itu ditempatkan di kawasan hutan semula jadi iaitu tempat habitat asal haiwan tersebut.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang dan kadar bayaran yang dikenakan ialah RM10 untuk dewasa, RM5.00 (kanak-kanak), manakala bagi pelancong asing, dewasa dikenakan RM20 dan kanak-kanak (RM10).

Bagi Sabah, taman berkenaan berpotensi dijadikan tarikan baru kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara berikutan keunikan haiwan-haiwan liar dan tumbuh-tumbuhan spesies Borneo yang ditempatkan di situ. Terdapat haiwan yang berasal dari Borneo seperti orang utan, monyet Belanda, gajah terkecil di dunia iaitu gajah Pygmy serta spesies badak yang hampir pupus – Badak Sumbu Sumatera dan sebagainya yang dipamerkan di zoo di situ.

Melawat  ke taman   yang paling sesuai ketika jam 10 pagi atau  jam 3 petang kerana pada waktu sebegini diadakan persembahan atau pertunjukan haiwan yang sangat luar biasa. Persambahan menarik antaranya ialah sayembara antara haiwan vs manusia; orang utan akan berlawan dengan penonton siapakah yang lebih cepat atau pintar dalam hal menggolek /mengeluarkan objek dari kaca, yang sudah pasti orang utan akan menjuarainya begitu juga juara akan berpihak kepada orang utan dalam pertandingan siapa cepat selesai mengopek sabut kelapa. Ikut serta dalam persembahan ialah burung kakak tua, ular dan burung kenyalang.

Leave a comment

Filed under fotorafi, Lensa

Pantun: Si Burung Helang si Burung Selangkir

Burung helang kuning matanya,
Hinggap di pohon saga-saga;
Hidup di dunia ada matlamatnya,
Untuk ke akhirat berjaga-jaga.

Burung selangkir merah matanya,
Hinggap di payung siubur-ubur;
Mungkar-nangkir datang betanya,
Apa jawabnya di dalam kubur.

Burung helang si burung selangkir,
Si mata kuning si mata merah;
Hidup kita biar berfikir,
Jangan menyesal yang tiada sudah.

Leave a comment

Filed under Lensa

Sibu

Sibu bolehlah dikatakan sebagai kota Iban. Bahasa Iban menjadi bahasa dominan untuk berkomunikasi, bukan sekadar orang Iban malahan juga bagi puak dan bangsa lain, mereka fasih berbahasa Iban. Selain kota Iban, amat jelas Sibu juga didominan oleh agama Kristian. Gereja di tengah kota Sibu berdiri megah menandakan agama Kristian bertapak kuat di sana jika dibandingkan dengan agama Islam, masjid jamek Sibu begitu kerdil terselindung di sebalik bangunan kosmopolitan tidak ubah umpama surau kampungan.

Bandar Sibu kalau dulu terkenal dengan kota gengster, kerana ramai penjenayah yang dibuang daerah ditempatkan di Sibu. Namun akhir-akhir ini kota Sibu semakin bersih daripada kes jenayah. Orang-orang yang menatap di sana ramah tamah, suka berbual mesra terutama para peniaga. Seawal pagi para peniaga yang tidak mempunyai tempat tetap berniaga sudah sibuk menyediakan tempat berniaga sementara di luar kawasan pasar rakyat.

Beraneka jenis hasil pertanian dijual di pasar basah, aku sempat membeli buah mata kucing hijau, udang galah untuk kubawa pulang, udang galah sungai Rajang yang besar memang popular di Sibu. Aku sempat membeli beraneka ramuan kayu dengan harga yang berpatutan daripada peniaga berketurunan Iban. Penjual ramuan herba begitu asyik menceritakan tentang pengalamannya sebagai pencari herba akar-akar dan pokok-pokok kayu asli di kawasan hutan Sarawak malahan dia pernah berguru dengan orang Islam antara isi pelajaran yang tertara pada carikan kertas yang disimpan dalam dompetnya ialah tentang membenarkan akan  Allah SWT sebagai Tuhan yang Esa dan kenabian Nabi Muhammad SAW.

Selain membeli belah di kawasan pasar basah, berderetan kedai juga menjual barang keperluan yang berpatutan harganya. Sekiranya hendak bersarapan pagi atau minum petang, minum teh tarik dan roti canai di kawasan gerai bulat yang pemiliknya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam begitu enak sekalipun kawasan di sana begitu terhad. Makan di KFC atau di Suger Bun sudah memadai sekiranya kita mahu menjaga kebersihan dan kesihatan, selain makan di restoran Nyonya milik Indian Muslim di kawasan bangunan HSBC juga antara restoran yang terbaik di Sibu.

Di bahagian sungai Rajang kita dapat menyaksikan berbagai aktiviti orang tempatan yang turun naik di pelabuhan ferri. Ada juga beberapa orang meluangkan masa memancing di kawasan peranginan  sepanjang sungai Rajang. Selain bandar Sibu yang asal terdapat juga kawasan baru yang di kenali sebagai Sibu Jaya namun begitu Sibu Jaya tidaklah seluas dan sehebat bandar Sibu.

 

1 Comment

Filed under Kenangan, Lensa, Rencana

Latihan Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan

Pada hari Isnin dan Selasa (20 & 21 Februari)  latihan penuh Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan diadakan demi mengemaskini serta memperbaiki apa-apa jua aktiviti atau persembahan yang belum sempurna agar semasa Hari Kebangsaan ke 28 dapat disambut dengan jayanya.

Setiap kali latihan, aku meletakkan kereta di Kg. Sungai Kebun demi mengelakkan kesesakan jalan raya di BSB. Setiap penumpang yang menyebarang sungai Brunei menggunakan perahu tambang dikenakan bayaran sebanyak 50 sen. Seronok juga menggunakan perahu tambang kerana masa untuk sampai ke tebing Yayasan SHHB tidak sampai 5 minit juah lebih menyenangkkan daripada menggunakan kereta sendiri ke BSB yang mengambil masa berjam-jam lamanya untuk sampai ke BSB, tambahan kesukaran untuk mendapat parker berdekatan dengan Taman SOAS.

Oleh kerana pada Perhimpunan Agung  Hari Kebangsaan ke-28 aku tidak berpeluang untuk memfoto peristiwa menarik, jadinya semasa latihan ini aku luangkan masa memfoto beberapa aktiviti para peserta yang giat berlatih dan berusaha untuk menjayakan hari kebangsaan yang hanya disambut setahun sekali yang jatuh pada 23hb Februari. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan, semoga negara ini terus menikmati keamanan dan kesejahteraan, amin.  ‘”Negaraku Brunei Darussalam”.

Comments Off on Latihan Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan

Filed under Kenangan, Lensa

Berdiri di lereng bukit

Al-fatihah dan salam kepada penghuni kuburan   merupakan kalimat awal yang kuluahkan sebelum memasuki perkuburan Kg. Sungai Kebun. Di lereng bukit perkuburun, pemandangan pada waktu pagi yang dingin begitu indah. Pemandangan yang indah terarah ke Kampung Air kerana berlatar belakangkan masjid Tamoi, masjid SOAS, Yayasan SHHB malahan keadaan kampung air itu sendiri  yang menjadi tarikan pelancong disebabkan binaannya di atas air  yang unik  serta seni bina Melayu Brunei yang tersendiri. Aku sebagai rakyat NBD tetap terpegun sekalipun sudah berpuluh-puluh kali menjejaki jeti dan titi  ketika menerokai kampung air. Aku tidak pernah lenguh menikmati keindahannya

Selain pemandangan kampung air yang indah sekalipun nampak usang, nun jauh di sana, aku dapat menyaksikan bangunan tersegam indah di lereng bukit yang selama ini belum pernah kusaksikan sebegitu jelas. Bangunan yang berkubah keemasan memang sudah kukenali malahan aku pernah menjejakkan kaki ke kawasan tersebut tahun lepas ketika jemaah haji menjadi tetamu untuk junjung ziarah. Namun bangunan yang beratap biru dan hijau belum pernah kuziarahi, hanya pagi itu aku menyaksikan kedudukannya yang sebenar.

Selain daripada bangunan yang tidak pernah kusaksikan, terdapat lagi sebuah bangunan berdiri megah sekilpun masih dalam pembinaan namun sudah cukup meyakinkan yang bangunan itu  akan menjadi mercu keindahan senibinanya mungkin bisa saja menenggelamkan keindahan Taj Mahal yang menjadi lambang cinta Shah Jahan kepada isterinya Mumtaz Mahal yang terkorban ketika melahirkan zuriatnya yang ke-14.

Leave a comment

Filed under Kenangan, Lensa

Pipit

Selepas solat fardu Jumaat, aku duduk di muka pintu menyaksikan  telatah burung pipit bermandi manda di takungan air. Usai mandi beberapa kumpulan pipit hinggap di pepohon ubi kayu. Bukan hanya jenis burung pipit yang menumpang berteduh di dedahan pokok ubi kayu tetapi juga beberapa jenis burung yang aku kurang pasti jenisnya, yang aku pasti beberapa ekor burung selangkir yang berwarna hitam dan bermata merah juga turut berteduh.

Setiap hari di kawasan halaman rumah, kicauan burung amat menghiburkan hati. Kicauan burung  kelajiau atau murai  antara kicauan yang terindah dan sentiasa kunantikan. Aku tidak perlu menyusahkan diri pergi ke taman burung kerana di halaman rumah beraneka jenis burung hinggap, datang dan pergi silih berganti.

1 Comment

Filed under Kenangan, Lensa

Titisan Hujan

Petang kelmarin hujan begitu lebat membasahi Negara Brunei Darussalam. Hujan seolah-olah mengiringi kepiluan tragidi menyambut kepulangan kujuran jenazah yang mengalami kemalangan  di Negari Sabah yang telah sampai di negara ini petang kelmarin  yang mana beberapa kujuran jenazah tersebut disembahyangkan di Masjid Asr’ Haji Hassanal Bolkiah. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas mereka semua… Amin!

Leave a comment

Filed under Lensa, Renungan

Sepilok: Sandakan

Sesampai di Taman Pusat Pemuliharaan Orang Utan  Sepilok jam sudah menunjukkan 2: 30 pm yang mana waktu makan petang bagi orang utan sedang dijalankan. Aku terlupa membawa bersama lensa 400 mm untuk memfoto orang Utan yang kusediakan di kereta kerana bergegas untuk membeli tiket masuk. Setiap kamera yang dibawa masuk akan dikenakan RM10 selain tiket untuk masuk yang dikenakan bagi setiap pengunjung. Syarat yang perlu dipatuhi ketika menyaksikan orang Utan menikmati juadah, tidak dibenarkan membawa sebarang makanan, minuman, beg tangan sekalipun barang yang berharga tersimpan dalam beg tersebut atau apa-apa jua barang, semuanya boleh disimpan di loker yang telah di sediakan, kecuali kamera kerana pemeriksaan akan dilakukan pada cek point  sebelum masuk ke kawasan pemerian makanan. Aku menyaksikan ramai pelawat yang membawa minuman botol diarahkan untuk berpatah balik menyimpan di loker yang disediakan. Ini semua demi kesalamatan pengunjung.

Aku diberitahu oleh pengawal cek point ketika memberi makan pada sesi waktu pagi hanya seekor orang utan yang datang selebehnya bertebaran mencari makan di hutan tebal kerana ketika ini musim buah-buahan yang memungkinkan orang utan mencari hasil  makanan daripada buah-buahan di hutan simpan tersebut.

Pada petang tersebut aku dapat menyaksikan beberapa ekor orang utan yang menggendong anak dengan penuh kasih sayang makan sambil membelai anaknya. Aku rasa gembira menyaksikan bagaimana kehidupan orang utan yang sebenarnya dan berterima kasih kepada pihak yang terlibat menjaga ketenteraman orang utan agar tidak pupus  dari alam maya ini.

2 Comments

Filed under Lensa, Pilihan