Matahari sudah mula condong ke ufuk Timur, bahang matahari amat terik, kami mula masuk ke Wasai Batu Hidup merentasi kebun sayuran di Kawasan ladang Hua Ho. Setelah memasuki kawasan hutan tebal, kami sudah terlindung daripada sinaran mentari. Perjalanan ke Wasai yang paling dekat (Dulunya ladang Hua Ho mengambil air dari wasai di situ) tidak menyukarkan kerana tiada bukit bukau, perjalanan hanya meniti buhur bukit kemudian menuruni curam untuk sampai ke wasai tersebut.
Setelah melimpasi wasai tersebut, kami terpaksa mendaki bukit yang curam, kemudian mengikut aliran sungai untuk sampai ke Wasai Batu Hidup. Semasa mendaki bukit yang curam aku berpaut di pohon ‘ hanjarapai’ , sebaik tanganku tersentuh daun hanjarapai, kulitku terasa disengat ulut bulu. Bisanya meresap ke isi. Memang betul daun hanjarapai disebut begitu kerana bisanya sama seperti bisa hanjarapai atau obor-obor laut. Aku mencuba untuk menggosok dengan pasir dan merendam di air tetapi tiada berkesan, hinggalah Baharum mengambil akar pokok hanjarapai atau Pokok Birah sebagai penawar. Ternyata akar pokok itu sebagai penawar yang ampuh. Rasa bisa akhirnya hilang selepas akar hanjarapai kugosok dan kutampat ditempat yang terkena bisa daun tersebut. Untuk mereka yang pergi ke wasai Batu Hidup atau ke mana-mana wasai di kawasan Labi haruslah berhati-hati kerana terdapat banyak pokok hanjarapai tumbuh segar di sepanjang sungai.
Setelah memfoto dan berehat seketika, kami berpatah balik ke Wasai pertama untukku memfoto dan mandi. Kami berangkat meninggalkan wasai dan tiba di kawasan kebun tempat letak kereta pada jam 4:30 petang.