Tiga hari dua malam package percutian bermalam di hutan Ulu Tutong sebagaimana yang dirancang sebelumnya sudah tercapai. Kami di sana selapas sembahyang fardhu Jumaat dan pulang pada hari Ahad tengah hari. Kali ini aku berasama Hadi, Dahalan, Kamsol dan Ali Sharin. Oleh kerana bertugas aku dan Dahlan terpaksa pulang dan meninggalkan Hadi, Kamsol dan Shahrin di home stay peninggalan pekerja balak pada larut petang Jumaat. Kami kembali semula selepas bertugas pada petang Sabtu. Kali ini hidangan makan malam minggu begitu sedap, gulai umbut nibung tembuanai bersapak sardin berserta goreng ikan masin oleh chef Hadi si raja umbut nibung.
Aku geli hati mendengar cerita daripada Hadi dan geng tentang cuaca dan hawa panas yang teramat terik sewaktu menjelang tengah hari, mereka mengatakan panas di sana amat terik, hutan tebal dinaungi bukit-bukau ditambah ketiadaan angin yang berhebus menyebabkan mereka bertiga gelisah, ada yang pergi ke pondok berasingan, duduk tidak kena, baring pun tidak kena akhirnya mandi dan selepas itu bahang panas tidak dapat dibendung. Terlalu panas. Begitu juga tentang cerita Kamsol betapa dia tidak dapat tidur semalaman kerana minum kopi yang tidak sesuai sehingga timbul uri yang menyebabkan dia sentiasa berasa takut, apa yang kutahu Kamsol bukan seorang yang penakut, kalau menyuluh pelanduk dia selalu berjalan seorang diri pada malam hari tanpa menghiraukan tanah perkuburan atau kawasan yang terkenal menyeramkan. Kali ini dia kalah, perasaan takut menyelubungi dirinya sehinggalah waktu kami sampai rasa takutnya sudah beransur hilang.
Pada malam harinya tidak banyak cerita yang kami bualkan, selain membaca buku sambil mendengar lagu daripada corong radio, dan akhirnya alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berkumandang daripada radio yang sama sehingga ke waktu subuh. Kami tidur selapas makan malam. Kami tidur bersusun bantal. Aku diposisi tengah, Kamsul memilih di tepi dinding manakala Dahalan di tepi pintu. Hadi dan Sahrin masing-masing di atas katil yang tersedia di pondok tersebut.
Keseronokan berada di hutan tebal tidak dapat diungkapkan. Terasa damai. Kami sempat singgah di kawasan batu karang, aku mengutip batu igang untuk kura-kura peliharaan bersantai, kami singgah di beberapa tempat melihat kayu-kayan yang sesuai untuk disemai untuk hiasan halaman terutama Dahalan yang suka mengumpul tumbuhan herba. Hadi yang suka menghumbut nibung singgah setiap kali melihat nibung tembuanai yang tumbuh melata untuk dihumbut. Aku hanya melalapkan mata di kereta sementara mereka mencantas kayu-kayan dan menghumbut nibung. Seperti biasa sebelum pulang persinggahan tetap kami ialah di Masjid Benutan, untuk menunaikan sembahyang fadhu selain menghilangkan penat lelah sebelum menyambung perjalanan ke distinasi pulang.