Monthly Archives: May 2012

Senja di Pantai Jerudong

Sudah sekian lama aku tidak memfoto pada waktu senja, lebih-lebih lagi selepas fardhu Maghrib. Petang kelmarin aku terfikir untuk memfoto suasana waktu senja selepas fardu maghrib, aku mencari lokasi yang berdekatan dengan masjid ternyata di Pantai Jerudong ada surau berdekatan dengan pasar basah.  Bersolat di surau bukan seperti di masjid kerana di masjid sudah ada Imam khusus, sebaliknya di surau tidak begitu. Ketika aku hendak bersembahyang sudah ada beberapa orang Bangla bersembahyang, mereka solat berasingan aku menyangka mereka sembahyang sunat aku menunggu sehingga mereka selesai, ketika mereka selasai solat aku ingin tahu sama ada mereka sudah melakukan solat fardhu. Aku berasa hampa atas jawapan mereka, sepatutnya kalau ada beberapa orang dalam rumah ibadat yang afdhal ialah solat berjamaah bukan solat bersendirian. Antara beberapa orang Bangla tersisip juga seorang bangsa kita, Melayu yang juga sembahyang bersendirian yang selesai lebih awal  menyebabkan akhirnya aku juga terpaksa melakukan perkara yang sama kerana tiada orang lagi untukku solat berjemaah sekalipun masih masih ramai para peniaga dan pelanggan di pasar basah, namun tidak ada yang datang ke surau hatta  sehingga aku selesai mengerjakan solat Maghrib. Aku tidak dapat menafikan mereka sedang sibuk dan akan melakukan solat setelah pulang ke rumah, ditambah lagi ada sesetengah orang kita yang  cukup sekadar membaca “Subhanallah, Walhamdulillah, Wallahuakbar”sebagai pengganti sembahyang. Namun perintah Allah SWT, tetap perintah yang wajib dipatuhi. Dalam hal solat tiada kompromi.

Cahaya kemerahan beransur gelap, aku melangkah turun ke kawasan pantai, mujur ombak laut tidak begitu bergelora. Aku sempat memfoto ‘longshot’  ke arah barat. Tiada objek khusus selain tambak penghadang hakisan berserta beberapa pohon pokok. Aku pulang sebelum waktu Isya kerana selapas waktu tersebut seorang teman dari Belait berjanji untuk bertandang ke rumah.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Lensa

Tarik Kalat, Tutong

Sebelum waktu Asyar aku sempat singgah di pekan Tutong. Kebetulan hari ini Perlawanan Tarik Kalat Tradisi Peringkat Tutong disayembarakan. Aku singgah seketika, memandangkan azan Asyar berkumandang, aku bergegas menyahut panggilan seruan suci yang berkumandang dari arah baruh. Masjid jamie Pekan Tutong terletak di kawasan baruh bukit hanya beberapa ratus meter dari tempat tarik kalat diadakan di padang SM. Muda Hashim. Walaupun kawasan masjid tidak jauh, namun orang ramai tidak berganjak daripada meninggalkan sayembara tersebut untuk solat berjemaah.

Pernah beberapa tahun dahulu,  terjadi peristiwa yang menyayat hati yang mana salah seorang penonton tersungkur akhirnya meninggal dunia ketika menyaksikan sayembara tarik kalat di tempat yang sama. Aku mengenali orang tersebut kerana aku sering melihatnya bersembahyang berjemaah di masjid, terutama waktu maghrib malahan beliau antara orang yang selalu sembahyang Subuh berjemaah. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas beliau.

Selapas solat Asyar aku bergegas untuk menyaksikan sayembara peringkat akhir namun aku terasa dahaga, mahu tidak mahu aku terpaksa singgah di kedai makan untuk mengalas perut. Ternyata di restoran tempatku singgah hanya seorang tukang masak yang bertugas, orderku yang sepatutnya siap dalam beberapa minit akhirnya mengambil masa yang lama. Aku patah hati. Aku memberitahu pelayan agar membatalkan apa yang kuminta sebelumnya. Tukang masak memohon maaf dan meminta aku menunggu seketika, yang ternyata dia bergegas menguruskan segala orderku.

Usai sahaja melunaskan bayaran di restoran aku bergegas ke Padang SM Muda Hashim untuk menyaksikan sayembara Tarik Kalat Tradisi. Perlawanan terakhir Kumpulan C’ sedang berlangsung   antara gabungan ABDB dengan  Tim Mega Power, Sungai Kelukos.  Kedua-dua tim sama gagah, sama kuat namun akhirnya tim gabungan ABDB menjuarai perlawanan tersebut. Setiap juara kumpulan akan mewakili daerah Tutong ke perlwanan Kebangsaan. Aku mengucapkan tahniah kepada yang berjaya termasuk belia-belia dari kampungku, yang juga menjuari dalam kategori  mereka.

Tim Gabungan ABDB

Tim Mega Power

Belia kampungku yang menjuarai dalam kategori kumpulan mereka.

Leave a comment

Filed under Juara

Bermalam di Ulu Tutong #3

Tiga hari dua malam package percutian bermalam di hutan Ulu Tutong sebagaimana yang dirancang sebelumnya sudah tercapai. Kami di sana selapas sembahyang  fardhu Jumaat  dan pulang pada hari Ahad tengah hari. Kali ini aku berasama Hadi, Dahalan, Kamsol dan Ali Sharin. Oleh kerana bertugas aku dan Dahlan terpaksa pulang dan meninggalkan Hadi, Kamsol dan Shahrin di home stay peninggalan pekerja balak  pada larut petang Jumaat. Kami kembali semula selepas bertugas pada petang Sabtu. Kali ini  hidangan makan malam minggu begitu sedap, gulai umbut nibung tembuanai bersapak sardin berserta goreng ikan masin oleh chef Hadi si raja umbut nibung.

Aku geli hati mendengar cerita daripada Hadi dan geng tentang cuaca dan hawa panas  yang teramat terik sewaktu menjelang tengah hari, mereka mengatakan panas di sana amat terik, hutan tebal dinaungi  bukit-bukau ditambah ketiadaan angin yang berhebus menyebabkan mereka bertiga gelisah, ada yang pergi ke pondok berasingan, duduk tidak kena, baring pun tidak kena akhirnya mandi  dan selepas itu bahang panas tidak dapat dibendung. Terlalu panas.  Begitu juga tentang cerita Kamsol betapa dia tidak dapat tidur semalaman kerana minum kopi yang tidak sesuai sehingga timbul uri yang menyebabkan dia sentiasa berasa takut, apa yang kutahu Kamsol bukan seorang yang penakut, kalau menyuluh pelanduk dia selalu berjalan   seorang diri pada malam hari tanpa menghiraukan tanah perkuburan atau kawasan yang terkenal menyeramkan. Kali ini dia kalah, perasaan takut menyelubungi dirinya sehinggalah waktu kami sampai rasa takutnya sudah beransur hilang.

Pada malam harinya tidak banyak cerita yang kami bualkan, selain membaca buku sambil mendengar lagu daripada corong radio,  dan akhirnya alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berkumandang daripada  radio yang sama sehingga ke waktu subuh. Kami tidur  selapas makan malam. Kami tidur bersusun bantal. Aku diposisi tengah, Kamsul memilih di tepi dinding manakala Dahalan di tepi pintu. Hadi dan Sahrin masing-masing di atas katil  yang tersedia di pondok tersebut.

Keseronokan berada di hutan tebal tidak dapat diungkapkan. Terasa damai. Kami sempat singgah di kawasan batu karang, aku mengutip batu igang untuk kura-kura peliharaan bersantai, kami singgah di beberapa tempat melihat kayu-kayan yang sesuai untuk disemai untuk hiasan halaman terutama Dahalan yang suka mengumpul tumbuhan herba. Hadi yang suka menghumbut nibung singgah setiap kali melihat nibung tembuanai yang tumbuh melata untuk dihumbut. Aku hanya melalapkan mata di kereta sementara mereka mencantas kayu-kayan dan menghumbut nibung. Seperti biasa sebelum  pulang persinggahan tetap kami ialah di Masjid Benutan, untuk menunaikan sembahyang fadhu selain menghilangkan penat lelah  sebelum menyambung perjalanan ke distinasi pulang.

Pondok pekerja balak tempat kami menumpang.

Buah hutan berbentuk buah tampoi,

Tanganku dan tubuhku undu.

Leave a comment

Filed under Kenangan

Bermalam di Ulu Tutong #2

Kali kedua aku dan saudaraku, Kamsol dan Ali Sahrin bermalam di Ulu Tutong, tetapi kali ini lebih jauh ke pedalaman sudah mendekati kawasan Limbang. Hujan yang turun dengan lebat menjadi asbab untuk kami bermalam di rumah pekerja balak yang di kosongkan. Untuk keluar dari kawasan tersebut agak mustahil kerana kawasan tanah yang licin, becak dan basah sekalipun menggunakan kereta pacuan empat roda tambahan kawasan yang telah kami tempuhi kawasan yang berbukit bukau.

Hujan yang  mencurah pada waktu senja membuat alam sekeliling terasa dingin. Malam hari,  kami hanya duduk bersantai, bercerita tentang kenangan silam setelah makan malam. Membaca buku ala kadar sebelum tidur sekali sekala terhenti mendengar celoteh dan cerita-cerita  si Kamsol.  Aku memang jarang berbual apatah lagi bercerita dengannya, hanya saat-saat sebeginilah aku dapat berbual dan mengeratkan silautrahim dengannya. Kamsul orang yang rajin, tidak camah mata sentiasa sedia menolong dalam apa saja, semampunya. Dia jauh lebih bertanaga daripadaku. Sikutan atau  bekalan barang yang kusikut yang bagiku begitu berat tiada apa-apa baginya malahan dia boleh menyaingi tiga kali ganda daripada kemampuanku. Aku mengagumi atas kekuatannya fizikalnya. Kalau berjalan dia sentiasa di depan yang sudah pasti akulah yang paling terkemudian. Malahan dialah harapan kami untuk memasang pukat dan memasang jerat. Kekuatan fizikal kami agak berbeza hanya kesamaan kami, setiap kali  berada di sungai yang jernih kami suka berendam dan mandi.  Sikap rajinnya bukan hanya dalam kerja yang lasak malahan tanpa diarahkan , dialah yang menanak nasi dan masak lauk  untuk makan malam dan sarapan pagi.

Pada waktu pagi kawasan tempat kami bermalam diliputi embun yang tebal. Hawa dingin menyusup ke tulang, tambahan  awal pagi kami melawati jerat payau dan pukat napuh yang kami pasang. Ternyata pukat yang kami pasang tidak teguh, napuh telah dapat memutuskan pukat nylon yang dibeli dengan harga BND 12.00. Ternyata pukat tersebut tidak sesuai untuk napuh kerana  nylon yang dibubul agak kecil tidak mampu menampung kekuatan napuh.  Kami meninggalkan kawasan tersebut pada jam 11.00 pagi setelah jalan yang basah semakin kering. Kami bercadang untuk bermalam di sana  seminggu kemudian.

Leave a comment

Filed under Kenangan

Bermalam di Ulu Tutong

Bermalam di Ulu Tutong, melelapkan mata di tepi jalan beratapkan langit, bercahayakan bulan kelam berserta taburan bintang di langit sesuatu yang mengasyikkan. Embun pagi hanya menitis ketika subuh menjelma. Nyamuk tidak menggangu   selama  kepulan asap daripada unggun apa berligar-ligar di kawasan bermalam. Pukul sembilan malam, kami masuk ke hutan kalau-kalau ada napuh.  Setelah puas berlegar-legar di kawasan hutan berdekatan, hinu mata napuh tiada kelihatan, yang ada hanya hinu mata buaya di kawasan sungai, labah-labah menunggu mangsa di sesawangnya, kunang-kunang berterbangan selain babi  penghuni kawasan tersebut yang lari bertempiaran setelah mengetahui kehadiran kami. Jam dua pagi sekali lagi kami masuk ke hutan kawasan bukit belukar berseberangan jalan tempat kami menginap, pekara yang sama terulang, tiada tanda-tanda napuh di kawasan tersebut  sekalipun kami mendaki beberapa buhur serta menuruni beberapa lurah. Akhirnya keletihan terubat dengan tidur yang nyenyak di bawah langit yang terbentang luas.

 

Leave a comment

Filed under Kenangan

Medamit, Limbang

Medamit, terletak di pedalaman Limbang yang boleh diziarahi menggunakan perhubungan jalan raya selain daripada perhubungan sungai. Jalan raya  menuju perkampungan  ke Medamit sudah dibubuh batu dan tar, walaupun tidak sebaik mana, perhubungan tersebut memudahkan bagi orang luar mengunjunginya.  Sesampai di Medamit setelah melintasi beberapa buah kampung yang mana  sepanjang jalan dihiasai oleh kehijauan tumbuhan  pertanian dan tumbuhan khatulistiwa  yang semulajadi. Orang tempatan kebanyakannya berbangsa Iban. Bahasa Iban menjadi bahasa komunikasi penduduk di sana, tauke Cina di kedai runcit begitu fasih berbahasa Iban ketika berurus niaga dengan orang tempatan. Terdapat dua buah bangunan kedai  di Medamit yang kebanyakannya tidak beroperasi. Namun begitu kedai runcit kepunyaan tauke Cina sudah memadai dan mencukupi untuk orang tempatan membeli keperluan seharian mereka.

Berdekatan dengan kawasan kedai tersegam Sekolah Menegah Kebangsaan Medamit yang mana sekolah inilah antara sekolah yang terbesar di Daerah Limbang. Oleh kerana Medamit terletak di kawasan pedalaman tidak hairan jika rumah penginapan mereka  dibina ala kadar sahaja terutama rumah-rumah di hujung  perkampungan. Hanya sebuah surau terletak di kawasan sekolah manakala di sepanjang jalan beberapa buah gareja yang menunjukkan penghuni di kawasan Medamit ramai yang menganut agama  Kristian malahan ada yang berpegang kepada amalan Bahai, ini amat jelas kerana terdapat komuniti Bahai di sana, sedangkan kepercayaan Bahai diwartakan sebagai amalan sesat: http://www.sabah.edu.my/cwm010/ajaransesat.htm

Leave a comment

Filed under Kenangan, Rencana