Pembangunan di Bintulu begitu pesat. Banyak bangunan kormersial sudah dibina beberapa kilometer dari pekan Bintulu. Jalan pantai Miri- Bintulu yang lebih selesa membuatkan perhubungan untuk sampai ke Bintulu lebih mudah. Namun begitu terdapat juga jalan yang bergelombang dan tidak menyenangkan terutama di kawasan Sibuti dan yang sewaktu dengannya. Lemang yang dijual di pondok simpang jalan di kawasan ladang kelapa sawit begitu sedap terutama untuk mengalas perut agar tidak berkeroncong semasa dalam perjalanan Miri-Bintulu, Lemang berinti daging atau udang buatan orang Kedayan sungguh menyelerakan, tidak cukup hanya membeli sebatang dua lemang kerana harganya berpatutan tambahan lemangnya yang enak.
Pekan Bintulu sudah tersorok oleh kepesatan pembangunan. Bangunan kosmopolitan terletak di sisi jalan sebelum sampai ke pekan Bintulu berdekatan kawasan masjid baru, Masjid Assyakirin. Kawasan shopping kompleks berderetan megah dengan jalan raya yang bersistem satu hala membuatkan kita sukar untuk mencari di manakah letaknya pekan Bintulu, terutama mereka yang belum biasa dengan bandar baru Bintulu. Jalan lama yang biasa digunakan sudah berubah wajah, apa yang penting kita perlu mengikut arahan tanda jalan agar kita selamat sampai ke tempat yang dituju. Adalah tidak lengkap kalau kita hanya sekadar di bandar baru tanpa menerjah dan menziarahi pekan Bintulu, kerana di sinilah terletaknya tamu Bintulu, pasar malam yang mana jualan yang beraneka jenis juadah, hasil ladang, hasil laut, peralatan harian, kain baju dengan harga yang berpatutan. Begitu juga dengan kedai-kedai lama yang penuh dengan nostalgia masih tersegam indah dengan sistem jalan raya yang teratur. Hanya sanya kalau tersasar kita terpaksa menjelajah kampung yang kebanyakannya dihuni oleh orang Melayu Mukah sebelum berpatah balik ke pekan Bintulu.