Monthly Archives: February 2012

Kelupis Terbesar

Ahad lalu, terletak di dewan Muhibbah Parit, Kg. Pengkalan Batu berlangsungnya Pesta Makanan Tradisi. Berbagai juadah tradisi, minyak wangi daripada geharu serta hasil daripada kelapa muda hijau. Apa yang menarik pada hari tersebut dilancarkan juga majelis pengawar-waran tentang kelupis bersaiz besar yang pernah dicipta. Beras yang didadih seberat 100 kg yang mana proses pembikinan  daripada mendadih, dibungkus dengan pucuk nipah yang dianyam dan dikukus memakan masa 16 jam.  Oleh kerana saiz kelupis yang begitu besar, tempat pengukusan  terpaksa ditempah khas yang berharga ribuan ringgit. Majelis dan pembuatan kelupis terbesar ini dikendalikan oleh Ayu Atiqah Event Management.

Advertisements

Leave a comment

Filed under fotorafi, my

Latihan Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan

Pada hari Isnin dan Selasa (20 & 21 Februari)  latihan penuh Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan diadakan demi mengemaskini serta memperbaiki apa-apa jua aktiviti atau persembahan yang belum sempurna agar semasa Hari Kebangsaan ke 28 dapat disambut dengan jayanya.

Setiap kali latihan, aku meletakkan kereta di Kg. Sungai Kebun demi mengelakkan kesesakan jalan raya di BSB. Setiap penumpang yang menyebarang sungai Brunei menggunakan perahu tambang dikenakan bayaran sebanyak 50 sen. Seronok juga menggunakan perahu tambang kerana masa untuk sampai ke tebing Yayasan SHHB tidak sampai 5 minit juah lebih menyenangkkan daripada menggunakan kereta sendiri ke BSB yang mengambil masa berjam-jam lamanya untuk sampai ke BSB, tambahan kesukaran untuk mendapat parker berdekatan dengan Taman SOAS.

Oleh kerana pada Perhimpunan Agung  Hari Kebangsaan ke-28 aku tidak berpeluang untuk memfoto peristiwa menarik, jadinya semasa latihan ini aku luangkan masa memfoto beberapa aktiviti para peserta yang giat berlatih dan berusaha untuk menjayakan hari kebangsaan yang hanya disambut setahun sekali yang jatuh pada 23hb Februari. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan, semoga negara ini terus menikmati keamanan dan kesejahteraan, amin.  ‘”Negaraku Brunei Darussalam”.

Comments Off on Latihan Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan

Filed under Kenangan, Lensa

Melilas

Sudah beberapa kali percubaanku  untuk ke Malilas, Ulu Belait menggunakan kereta pacuan 4 roda tidak kecapaian akhirnya pada hari Ahad , 19/2/2012 aku sampai juga ke sana. Perjalanan ke Melilas perlu kesabaran kerana jalannya yang masih ditahap tanah kuning. Jalan menuju ke Melilas sentiasa licin, berlumpur  dan lacah tambahan setelah hujan turun. Sepanjang jalan ke Melilas, hutan rimba serta belukar menjadi teman setia hanya terdapat sebuah dua sulap penghias hutan belukar apabila sudah berdekatan dengan rumah panjang Melilas.

Menjelang Tengah Hari, ketika sampai di rumah panjang, penghuni rumah panjang sunyi belaka seolah-olah tiada penghuni. Hanya anjing penunggu rumah yang begitu setia, menyambut ketibaan kami. Oleh kerana ini adalah kali pertama ke Melilas, kami terus ke kawasan sungai melalui titi yang sudah usang namun masih kokoh. Menghirup udara segar sambil melihat alam sekeliling mengenagkanku tentang pengalaman ketika bertugas bertahun-tahun lamanya di pedalaman yang sentiasa mengharungi liku-liku kehidupan jerih payah  orang pedalaman yang serba kekurangan.

Sepanjang meniti titian kayu yang jaraknya lebih kurang 400 meter,  aku sempat memfoto beberapa jenis nandung / pepatung yang hidup bebas di kawasan paya. Pondok-pondok usang yang sudah lama ditinggalkan masih tersegam megah di tebing sungai. Kawasan pendaratan seolah-olah tidak lagi digunakan sepenuhnya kerana rerumput panjang  sudah terbiar serta tangga-tangga pendaratan juga sudah rosak. Sungai Melilas / Belait menjadi laluan utama untuk ke Melilas sebelum jalan kecil yang ada sekarang digunakan. Namun sekarang para penduduk kampung sudah menggunakan kereta pacuan 4 roda untuk sampai ke sana, malahan kereta toyota avanza juga ada di bahu jalan yang hanya beberapa meter dari rumah panjang.

Setelah berbual-bual dengan beberapa orang penghuni rumah panjang, kami beredar ke Sekolah Rendah Melilas yang tempatnya agak terlindung diliputi oleh pepohon kayu menghijau. Untuk sampai ke sekolah tersebut kami terpaksa berjalan kaki kerana kenderaan tidak boleh sampai ke halaman sekolah. Langkah demi langkah merentasi denai  di kelilingi hutan serta pepohon buah-buahan sepeti pokok cempedak, tampoi  serta pokok durian yang melindungi kami menyebabkan tengah hari yang terik terasa dingin. Ketika sampai di sekolah kedengaran ustaz mengajar agama kelas petang (hari Ahad) yang dihuni oleh dua orang pelajar. Di sekolah ini hanya terdapat 4 orang guru dan seorang ustaz manakala keramaian pelajar hanyalah 7 0rang. Kebetulan kami sempat berbual dengan guru-guru yang mengajar di SR. Melilas, mereka nampak bertenaga dan bersemangat.

Ketika pulang, kereta kami tersekat di kawasan tanah berlumpur, mujur  orang kampung membantu kami,  akhirnya dapat melimpasinya. Sepanjang perjalanan pulang sempat juga beberapa kali berhenti untuk makan tengah hari dan memfoto. Semoga pihak-pihak berkenaan akan mengusai dan menaikan tarap jalan kecil ke Melilas bagi memudahkan perhubungan orang Melilas dengan dunia luar.

Leave a comment

Filed under Kenangan

Berdiri di lereng bukit

Al-fatihah dan salam kepada penghuni kuburan   merupakan kalimat awal yang kuluahkan sebelum memasuki perkuburan Kg. Sungai Kebun. Di lereng bukit perkuburun, pemandangan pada waktu pagi yang dingin begitu indah. Pemandangan yang indah terarah ke Kampung Air kerana berlatar belakangkan masjid Tamoi, masjid SOAS, Yayasan SHHB malahan keadaan kampung air itu sendiri  yang menjadi tarikan pelancong disebabkan binaannya di atas air  yang unik  serta seni bina Melayu Brunei yang tersendiri. Aku sebagai rakyat NBD tetap terpegun sekalipun sudah berpuluh-puluh kali menjejaki jeti dan titi  ketika menerokai kampung air. Aku tidak pernah lenguh menikmati keindahannya

Selain pemandangan kampung air yang indah sekalipun nampak usang, nun jauh di sana, aku dapat menyaksikan bangunan tersegam indah di lereng bukit yang selama ini belum pernah kusaksikan sebegitu jelas. Bangunan yang berkubah keemasan memang sudah kukenali malahan aku pernah menjejakkan kaki ke kawasan tersebut tahun lepas ketika jemaah haji menjadi tetamu untuk junjung ziarah. Namun bangunan yang beratap biru dan hijau belum pernah kuziarahi, hanya pagi itu aku menyaksikan kedudukannya yang sebenar.

Selain daripada bangunan yang tidak pernah kusaksikan, terdapat lagi sebuah bangunan berdiri megah sekilpun masih dalam pembinaan namun sudah cukup meyakinkan yang bangunan itu  akan menjadi mercu keindahan senibinanya mungkin bisa saja menenggelamkan keindahan Taj Mahal yang menjadi lambang cinta Shah Jahan kepada isterinya Mumtaz Mahal yang terkorban ketika melahirkan zuriatnya yang ke-14.

Leave a comment

Filed under Kenangan, Lensa

Pipit

Selepas solat fardu Jumaat, aku duduk di muka pintu menyaksikan  telatah burung pipit bermandi manda di takungan air. Usai mandi beberapa kumpulan pipit hinggap di pepohon ubi kayu. Bukan hanya jenis burung pipit yang menumpang berteduh di dedahan pokok ubi kayu tetapi juga beberapa jenis burung yang aku kurang pasti jenisnya, yang aku pasti beberapa ekor burung selangkir yang berwarna hitam dan bermata merah juga turut berteduh.

Setiap hari di kawasan halaman rumah, kicauan burung amat menghiburkan hati. Kicauan burung  kelajiau atau murai  antara kicauan yang terindah dan sentiasa kunantikan. Aku tidak perlu menyusahkan diri pergi ke taman burung kerana di halaman rumah beraneka jenis burung hinggap, datang dan pergi silih berganti.

1 Comment

Filed under Kenangan, Lensa

Hari Kebangsaan ke XXVIII

Tahun ini hari kebangsaan menjangkau usia ke 28 tahun, aku antara puluhan ribu rakyat Negara Brunei Darussalam yang akan bersama di perhimpunan agung pada 23 Februari ini. Setiap tahun aku bertugas di luar gelanggang sebagai jurufoto tetapi kali ini dipertanggungjawabkan sebagai salah  seorang daripada peserta perbarisan lalu.

Pagi tadi, latihan perbarisan dan persambahan padang diadakan. Sebagai peserta perbarisan lalu, keghairahan untuk menyambut hari Kebangsaan amat terasa. Hanya sanya penyusunan peserta masih belum teratur, banyak pasukan yang tidak mengikut giliran perbarisan,  mereka hanya diarahkan untuk berjalan lalu, sehinggakan pasukan kami terpecah dua kumpulan; untuk kumpulan kami hanya 25 orang sahaja yang mengikut nombor giliran perbarisan manakala lebihan pecahan kumpulan terpaksa masuk ke giliran yang jauh di belakang, malahan lebih kurang 1600 peserta tidak dapat hadir kerana ketiadaan  pengangkutan. Semua ini gara-gara acara yang dibuat terlalu awal sehingga ramai peserta yang belum sampai  ke Taman SOAS kerana kesesakan jalan raya ditambah dengan masalah pengangkutan sedangkan acara perbarisan sudah bermula.

Namun begitu, hari Isnin dan Selasa ini latihan perbarisan dan persambahan akan dibuat lagi, semoga pihak penganjur dan AJK akan meneliti kesilapan mereka agar Perhimpunan raksaksa yang akan diadakan pada 23 Februari ini berjalan lancar.

Leave a comment

Filed under Kenangan

Kanowit

Knowit, pekan yang terpencil di pedalaman Sarawak. Bahasa Iban menjadi bahasa komunikasi orang-orang di pekan Kanowit. Pekannya kecil, hanya terdapat beberapa deretan kedai runcit, namun sudah cukup untuk memenuhi keperluan orang kampung membeli belah. Berdekatan dengan kawasan kedai terdapat juga sebuah masjid yang kecil menandakan terdapat juga orang Islam bermastautin di sana terutama para penjawat awam yang bertugas di sana malahan  gerai makcik Melayu yang menjual goreng pisang, karipap dan kuih muih begitu laris dibeli oleh orang tempatan.

Orang-orang di Kanowit begitu ramah, suka bertegur sapa, ringan mulut dan tidak camah mata, ini  membuktikan mereka masih mengamalkan sikap dan budaya kekeluargaan dalam masyarakat Kanowit. Mungkin dikeranakan pekan ini kecil membuatkan mereka sudah mengenali kesemua warga yang menjadi penghuni tetap pekan kecil ini sekalipun mereka datang dari berlainan kampung terpencil yang terpaksa menggunakan bot atau perahu untuk sampai ke pekan ini.

Hujan yang lebat menyambut kedatanganku di sana membuatkan cuaca tangah hari yang panas bertukar menjadi dingin ditambah lagi dengan percikan hujan yang membasahi seluruh badan beserta angin menambahkan lagi kedinginan. Hujan bukanlah penghalang untukku menikmati keindahan pekan Knowit, berjalan-jalan di tebing sungai Knowit  berdekatan jetti penurunan penumpang terdapat tamu  atau bazar  kecil yang menjual beraneka pakaian dan keperluan seharian masyarakat. Aku sempat membeli beberapa set lampu suluh  dan lampu suluh yang boleh dicharge dan boleh digunakan sehingga 120 jam untuk kuhadiahkan kepada adikku bagi kegunaannya ‘nyuluh duyan’ atau ‘nyuluh pelanduk’.  Setelah puas berjalan-jalan di pekan Knowit yang kecil dengan berbagai kenangan dan pengalaman baru, aku meninggalkan pekan tersebut berserta iringan hujan yang lebat.

Pintu gerbang pekan Knowit.

Pekan Kanowit boleh didatangi melalui sungai dan juga jalan raya.

Deretan kedai di pekan Knowit.

Bersantai sambil menunggu bot.

Berteduh sementara menunggu hujan reda.

Di kaki lima, para pengunjung pekan mundar mandir sementara menunggu hujan reda.

Leave a comment

Filed under fotorafi, Kenangan, Rencana