Ketika matahari perlahan-lahan terbenam, aku sempat singgah untuk makan di kawasan tepi laut Likas. Hujan lebat baharu saja beransur reda. Dentuman ombak yang menghempas bibir pantai tiada hentinya. Limpahan air laut berserta hujan membasahi kawasan pantai. Peniaga-peniaga gerai makan mula sibuk menyusun meja kerusi dan membersihkan kawasan gerai makan. Beberapa buah gerai sudah sedia menyambut pelanggan dengan senyum manis serta silaan agar singgah di gerai mereka.
Aku memilih di gerai yang menyediakan makanan laut segar; aku memilih ikan, sotong dan udang selain sayur campur. Ikan masak tiga rasa, udang bakar serta sambal sotong sebagai menu santapan pada waktu senja begitu menyelerakan tambahan cuaca yang agak dingin disebabkan oleh hembusan angin laut bersalutkan hujan renyai-renyai. Selepas santap, aku santai seketika di gerai Highway Likas sebelum melanjutkan perjalanan ke One Borneo.