Bandar Sandakan ialah bandar kedua terbesar setelah Kota Kinabalu. Di kawasan bandar lama sahaja berbagai tempat menarik boleh dilawati. Bangunan dan kedai-kedai dibangunkan begitu pesat beberapa kilometer dari kawasan bandar.
Aku sempat melawat di rumah Agnes Keith, juga dikenali sebagai Newlands – rumah dua tingkat milik pengarang tempatan Agnes Newton Keith dan suami Harry (Kurator Muzium Borneo Utara) dari tahun 1930 hingga 1952. Rumah ini musnah ketika Perang Dunia II dan dibina semula di tapak yang sama. Pn. Keith menulis beberapa buah buku tentang Sabah dan penduduknya, termasuk Land Below the Wind, dan aku telah membeli novel beliau yang berjodol Three Came Home, dan White Man Returns. Baru-baru ini rumah ini menikmati pemulihan setelah bertahun-tahun dibiarkan. Berdekatan dengan tapak Muzium Agnes Keith, terdapat sebuah restoran di lereng bukit atas Sandakan yang menyajikan hidangan Inggeris dan Asia tradisional. Suasana dan pamandangan di kawasan tersebut sangat menarik , kita dapat menyaksikan laut serta bandar Sandakan.
Di kawasan bandar aku sering tersua orang awam yang memberi isyarat tangan ibu jari dan telunjuk dibulatkan manakala ketiga jari dinaikkan seolah-olah melambangkan OK. Aku tidak tahu apakah maksud lambang OK tersebut sehingga aku pulang ke Brunei barulah aku mengetahui isyarat tersebut ialah, mereka ada menjual telur penyu. Sudah pasti telur penyu tidak dibenarkan untuk diniagakan, namun ada juga yang meraih keuntungan dengan menjual telur penyu secara ilegal.
Makanan di Sandakan tidak jauh bezanya dengan makanan orang Melayu di bandar-bandar Sabah yang lain, cuma kalau makan soto, kita jangan mengharap seperti kita makan soto Rindu atau soto Hj Tuah kerana tiada mi kuning atau mi putih pada soto tersebut, sebaliknya yang ada hanya nasi impit atau ketupat dicampur sup dan rempah ratus yang boleh memberi dan menambah tenaga.
Kalau hendak makan ikan bakar, kita boleh menikmatinya di perkampungan Buli Sim Sim manakala kari kepala ikan terdapat di sebuah restoran di Sandakan Jaya berdekatan jalan menuju ke Kota Kinabalu milik mamak Islam. Masakannya begitu sedap tambahan beraneka hidangan dan juadah boleh disantap, stail restoran ini tidak ubah seperti restoran nasi kandar. Sekiranya aku ada peluang untuk ke Sandakan aku akan ke sana lagi. Insya Allah.