Monthly Archives: January 2012

Lumba Perahu Tambang

Kelmarin, jam 9:30 pagi aku bertolak untuk menyaksikan perlumbaan perahu di Bandar Seri Begawan. Kemalangan jalan raya di simpang Bangkurung-Junjungan memaksa perjalananku diperlahankan kerana kemalangan jalan raya berlaku di simpang jalan. Apa yang anehnya, lampu isyarat yang baru dibangunkan, belum digunakan sudah tumbang ditabrak, entah macamana kejadian tersebut boleh berlaku. Aku menyusuri jalan ke Junjungan dan seterusnya ke Lumapas dan Sungai Kebun.

Sepanjang jalan aku menyaksikan banyak pondok jualan buah-buahan berderetan menyajikan buah-buahan tempatan. Apa yang lebih menarik ialah kereta-kereta berderetan di bahu jalan di kawasan Remz Gym, Kampong Junjungan.  Pemilik Remz Gym. inilah yang dikatakan banyak menaja perlumbaan perahu kali ini. Walaupun dalam perlumbaan kategori F1 (F10!) kedua-dua bot daripada tim Remz Gym tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana mengalamai kerosakan teknikal. Penduduk Brunei sudah mengenali pengurus Remz Gym. kerana beliau tergolong orang kaya yang pemurah apatahlagi dalam khutbah Jumaat yang lalu ada menyentuh tentang perniagaan Saham yang seolah-olah memanah pengusahaan Remz Gym.

Dalam semua kategori aku amat tertarik pada kategori perlumbaan Perahu Tambang. Perahu tambang bukanlah kenderaan untuk perlumbaan kerana perahu ini hanya digunakan sebagai pengangkutan orang yang tinggal di Kampung Air. Namun begitu para pemandu dalam perlumbaan perahu tambang begitu cekap terutama ketika mengimbang perahu di setiap korner ketika berpatah ke pusingan seterusnya. Dalam perlumbaan ini enjin yang digunakan begitu luar biasa tenaganya, Sepanjang perlumbaan caruk perahu lebih banyak melantun di udara daripada acap di air. Tim Boneka begitu gah sebagai pemenang kerana dapat meninggalkan pesaing yang lain lebih kurang tiga suku pusingan.

Semoga perlumbaan ini akan terus diadakan pada tahun-tahun mendatang. Selamat Menyambut Tahun Baharu Lunar!

 

Advertisements

Leave a comment

Filed under Kenangan

Senja Di Likas

Ketika matahari perlahan-lahan terbenam, aku sempat singgah untuk makan di kawasan tepi laut Likas. Hujan lebat baharu saja beransur reda. Dentuman ombak yang menghempas bibir pantai tiada hentinya. Limpahan air laut berserta hujan membasahi kawasan pantai. Peniaga-peniaga gerai makan mula sibuk menyusun meja kerusi dan membersihkan kawasan gerai makan. Beberapa buah gerai sudah sedia menyambut pelanggan dengan senyum manis serta silaan agar singgah di gerai mereka.

Aku memilih di gerai yang menyediakan makanan laut segar; aku memilih ikan, sotong dan udang selain sayur campur. Ikan masak tiga rasa, udang bakar serta sambal sotong sebagai menu santapan pada waktu senja begitu menyelerakan tambahan cuaca yang agak dingin disebabkan oleh hembusan angin laut bersalutkan hujan renyai-renyai. Selepas santap, aku santai seketika di gerai Highway Likas sebelum melanjutkan perjalanan ke One Borneo.

Bangunan TAR jelas kelihatan dari kawasan gerai makan Likas.

Kota Kinabalu dapat di lihat dari pantai.

Sebahagian kawasan gerai yang belum digunakan selepas hujan lebat melanda.

Sayur campur, sambal sotong serta udang bakar.

Ikan gorang tiga rasa, memang sedap.

6 Comments

Filed under Kenangan

Durian Susu : Ranau

Perjalanan sepanjang Ranau bukan setakat berbukit-bukau tetapi bergunung-ganang. Di Ranau, gunung Kinabalu amat jelas kelihatan sekiranya tidak diselubungi awan terutama pada waktu pagi. Pepokok  dan tumbuhan yang menghijau menambahkan keindahan alam. Selain daripada pemandangan dan keindahan alam, pada musim buah-buahan ini begitu banyak buah-buahan tempatan yang dijual di sepanjang jalan Ranau terutamanya durian putih. Durian putih ‘susu’ adalah durian yang ulas-ulas isinya berwarna putih seputih susu. Memang terdapat durian putih yang berwarna kekuning-kuningan namun durian susu tetap menjadi pilihanku.

Aku sempat makan sebiji durian susu, pada kebiasaannya aku sudah cukup  untuk makan dua atau tiga ulas atau sapar kerana aku bukanlah peminat durian putih, lain halnya kalau durian kuning. Durian kuning lebih nyaman dan lazat namun di Ranau tiada terdapat durian sedemikian kalau pun ada hanyalah Durian Sukang. Durian sukang ini tidak kalah juga rasa enaknya namun kata orang tua-tua kalau banyak makan akan melemahkan otot kaki terutama orang yang alah dengan penyakit ngilu lutut. Apa yang membuatkan durian sukang tidak diminati ialah isinya yang hanya seulas atau dua sahaja bagi setiap sebiji durian sukang.

Durian susu …. Oleh kerana rasa durian susu yang manis , enak dan lemak, aku telah dapat menghabiskan sebiji yang menyebabkan aku sentiasa kenyang sepanjang hari yang mana aku  tidak perlu makan tengah hari di pekan Ranau.

Pondok menjual durian di tepi jalan Ranau

 

Durian putih yang baru sampai dari ladang.

 

Segeranjang durian putih dari ladang.

 

Durian susu yang sempat kumakan. enak!

 

Durian sukang.

 

Leave a comment

Filed under Kenangan

Sandakan

Bandar Sandakan ialah bandar kedua terbesar setelah Kota Kinabalu. Di kawasan bandar lama sahaja berbagai tempat menarik boleh dilawati. Bangunan dan kedai-kedai dibangunkan begitu pesat  beberapa kilometer dari  kawasan  bandar.

Aku sempat melawat di rumah Agnes Keith, juga dikenali sebagai Newlands – rumah dua tingkat milik pengarang tempatan Agnes Newton Keith dan suami Harry (Kurator Muzium Borneo Utara) dari tahun 1930 hingga 1952. Rumah ini musnah ketika Perang Dunia II dan dibina semula di tapak yang sama. Pn. Keith menulis beberapa buah buku tentang Sabah dan penduduknya, termasuk Land Below the Wind, dan aku telah membeli novel beliau yang berjodol Three Came Home, dan White Man Returns. Baru-baru ini rumah ini menikmati pemulihan setelah bertahun-tahun dibiarkan. Berdekatan dengan tapak Muzium Agnes Keith, terdapat sebuah restoran di lereng bukit atas Sandakan yang menyajikan hidangan Inggeris dan Asia tradisional.  Suasana dan pamandangan di kawasan tersebut sangat menarik , kita  dapat menyaksikan laut serta bandar Sandakan.

Di kawasan bandar aku sering tersua orang awam yang memberi isyarat tangan ibu jari dan telunjuk dibulatkan manakala ketiga jari dinaikkan seolah-olah melambangkan OK.  Aku tidak tahu apakah maksud lambang OK tersebut sehingga aku pulang ke Brunei barulah aku mengetahui isyarat tersebut ialah, mereka ada menjual telur penyu. Sudah pasti telur penyu tidak dibenarkan untuk diniagakan, namun ada juga yang meraih keuntungan dengan menjual telur penyu secara ilegal.

Makanan di Sandakan tidak jauh bezanya dengan makanan orang Melayu di bandar-bandar Sabah yang lain, cuma kalau makan soto, kita jangan mengharap seperti kita makan soto Rindu atau soto Hj Tuah kerana tiada mi kuning atau mi putih pada soto tersebut, sebaliknya yang ada hanya nasi impit atau ketupat dicampur sup dan rempah ratus yang boleh memberi dan menambah tenaga.

Kalau hendak makan ikan bakar, kita boleh menikmatinya di perkampungan Buli  Sim Sim  manakala kari kepala ikan terdapat di sebuah restoran  di Sandakan Jaya berdekatan jalan menuju ke Kota Kinabalu milik mamak Islam. Masakannya begitu sedap tambahan beraneka hidangan dan juadah boleh disantap, stail restoran ini tidak ubah seperti restoran nasi kandar. Sekiranya aku ada peluang untuk ke Sandakan aku akan ke sana lagi. Insya Allah.

Muzium rumah Agnes Newton Keith dan suami Harry.

 

Soto Sandakan

Soto Sandakan

 

Centre Point mall berhadapan dengan hotel Nak.

 

Bandar Sandakan pemandangan dari pantai.

 

Kampung nelayan berdekatan dengan bandar Sandakan.

 

Leave a comment

Filed under Kenangan