Daily Archives: December 18, 2011

Kampung Tg. Batu Laut, Tawau

Kehidupan pada awal pagi penduduk Kampung Tg Batu Laut, Tawau agak sibuk. Di bahagian darat para pekerja kilang berduyun-duyun mengurak langkah untuk bekerja shif  kerana di bahagian hujung kampung terdapat faktori yang menyediakan pekerjaan untuk anak tempatan, manakala di bahagian muara  sungai pula orang kampung giat memunggah  hasil pertanian untuk diniagakan di Tawau.

 

 

Advertisements

1 Comment

Filed under fotorafi

Kampung Hidayat: Tawau

Tidak jauh dari bandar Tawau kira-kira 4 batu jaraknya, terdapat kampung rumah setinggan bernama Kampung Hidayat. Rumah-rumah dibangunkan bertaburan di persisiran pantai. Keadaan rumah setinggan yang dibina begitu  padat, berkelompok dan berdekatan. Tidak hairan kalau terjadi kebakaran di sebuah rumah akan melarat ke beberapa buah rumah yang lain. Penghuninya  nampak tenang seolah-olah tiada masalah sekalipun mereka nampak hidup miskin sebagai nelayan atau bekerja sendiri.

Di sekitar kampung ini aktiviti perniagaan tidak lekang daripada  pandangan; pondok-pondok kecil dijadikan sebagai pondok jualan di samping anjung rumah diubahsuai menjadi kedai runcit. Terdapat tiga buah masjid  yang berdekatan dihujung kampung pula terdapat kilang papan / balak. Jalan penghubung yang sempit tidak terurus berserta sampah sarap yang menyegarkan pembiakan binatang yang mencari makan di kawasan yang kotor.

Betapa kampung Hidayat umpama langit dengan bumi jika dibandingkan dengan keadaan kampung di kawasan Tawau yang lain yang sentiasa segar dengan pembangunan dan kemudahan. Ketika kita berada di bandar Tawau kita dapat melupakan kehidupan sederhana penduduk kampung Hidayat.

Bandar Tawau diiktiraf sebagai bandar ketiga terbesar di Sabah setelah Sandakan dan Kota Kinabalu. Bahasa orang Tawau agak unik sekalipun mereka berbahasa Melayu, kalau kita menonton cerita Melayu Klasik ada kesamaan atau seimbas rima atau slangga ketika para pelakon berdialog  mengujarkan sesuatu tambahan pula dengan adunan dialek Indonesia. Masuk ke kawasan bandar kita akan menyaksikan masjid yang luas yang dikatakan masjid terluas di Sabah sehinggakan kalau kita selesai mengambil wudhu sewaktu iqamat dilaungkan kita tidak akan sempat menuju ke saf paling depan untuk bertakbir pertama bersama Imam. Masjid Al-Kauthar  beratap hijau melambangkan mercu kekuatan Islam di Tawau. Di tengah-tengah bandar terdapat lagi sebuah masjid Tua. Kalau orang baru sampai di Tawau maka masjid Tua inilah sukat-sukat paksi bandar. Di kawasan inilah hotel-hotel berderetan, di kawasan inilah kedai menjual kraf tangan dan beraneka kain batik yang dikatakan harganya jauh lebih murah daripada mana-mana kedai yang menjual kain di Sabah, di kawasan inilah  jugalah beraneka juadah di jual. Murah! Bandingkanlah potongan buah-buahan seperti jambu batu, tembikai atau batat kalau di NBD dijual BND1- 1.50 di Tawau hanya dijual dengan harga 50sen – RM1. Membeli kuih Malaya / apam balik tidak habis dimakan dengan harga RM3.

Makan malam atau bersarapan pagi di restoran di kawasan ini sangat berbaloi, roti kosong yang rapuh dan enak, ayam penyet juga  yang ramuannya tidak ubah seperti udang lalap ada tersenarai dalam menu. Makan sayap ayam bakar hanya RM6 , makanlah sepuas-puasnya di sini, sangat berbaloi. Bagi peminat KFC, memang di Sabah di mana-mana pekan dan bandar pesti ada KFC, namun yang menariknya di Tawau ialah nasi ayam di sebuah restoran berdekatan dengan KFC sungguh menyelerakan.

Berada dua hari di Tawau tanpa membaca buku sebelum tidur amat membosankan, untuk melelapkan mata aku terpaksa membaca buku panduan telefon. Amat sukar mencari kedai yang menjual majalah-majalah santapan mata untuk dibaca di bandar Tawau. Aku hanya menjumpai kedai bersebelahan Masjid Tua kedai butik  ada menjual  majalah Muslim beserta buku politik yang hanya beberapa naskah. Dan sebuah lagi kedai alat tulis tingkat satu di bahagian arah laut berdekatan dengan gerai buah-buahan. Bagi mereka yang suka membaca, untuk ke Tawau bawalah buku atau majalah ringan untuk kegunaan ketika di sana kerana di bandar Tawau amat sukar mendapatkan kedai yang menjual majalah, surat khabar dan tabloit yang lainnya.

Tempat menarik selain dari kawasan bandar pergilah ke Merotai untuk mandi-manda di air jeram di kawasan Hutan Simpan Bukit. Hutan yang menghijau sangat menyenangkan, lepaskan lelah sambil berehat dan bersantai di sana. Keindahan Tawau  tidak dapatku lupakan sebelum berangkat meninggalkan bandar Tawau kira-kira 5KM dari bandar aku sempat singgah di pusat membeli belah Gergasi / Giant, makan KFC dan menyimbat majalah untuk dibaca semasa menginap di Samporna pada hari seterusnya.

4 Comments

Filed under fotorafi

Perjalanan: Sepitang-Tawau,Sabah

Seawal 7:30 pagi, selepas sarapan pagi,  menikmati roti kosong dan teh tarik di restoran Sandakan, perjalanan dari pekan Sandakan menuju Tenum bersama sinaran pagi menyegarkan perjalanan. Pemandangan yang indah permai  tumbuhan yang menghijau diselangi rumah kampung pedalaman yang berjauhan jaraknya. Di kawasan Tenum gegendang telinga sudah berdengung menandakan kawasan pergunungan sedang direntasi. Pemandangan pokok-pokok menghijau jauh di bawah pergunungan menambah sahyu dan indahnya pemandangan, mujur jalan raya di kawasan tersebut agak lebar dan selamat. Tidak banyak kereta yang melintasi kawasan tersebut hanya sekali sekala tersua kereta yang melawan arah. Sepanjang perjalanan Sepitang – Tenum terdapat durian putih segar dijual di bahu jalan. Sampai di kawasan paras tinggi pergunungan, awan sudah menyelubungi jalan raya sehingga jarak penglihatan tidak melebihi 5-10 meter. Perjalanan perlu diperlahankan sehingga ke tahap 20 KM/J, memang sedari awal aku hanya memandu tidak melebihi 80 KM/J ini bertujuan untuk keselamatan sambil melihat keindahan alam kerana aku belum pernah melalui kawasan tersebut.

Jam 10.30 pagi  sudah sampai di Pekan Keningau, sempat juga membeli air serta beberapa jenis makanan ringan untuk dimakan sepanjang perjalanan. Untuk menuju ke simpang jalan Nabawan aku berpatah balik, mujur tersua papan isyarat yang sudah tumbang kerana pengubahsuaian jalan raya di kawasan tersebut. Hatiku girang memasuki jalan Nabawan,  di simpang awal perjalanan jalan raya agak rosak dan tidak terkendali sehingga ada sebahagian jalan yang tidak dibubuh tar. Semasa dalam perjalanan aku sempat membeli dua biji durian putih, sebiji ku makan keesokan harinya di kawasan Peranginan Hutan Merotai manakala sebiji tiada diusik hanya diletakan di belakang kereta, kubawa ke sana ke mari sehingga sampai pulang ke rumah selepas 10 hari bentuknya sudah menjadi hitam.

Setelah perjalanan lebih kurang 70 KM kami sampai di Pekan Nabawan ketika matahari sudah berada di posisi  atas kepala. Pekan Nabawan, pekan yang kecil, aku hanya meronda di kawasan pekan satu pusingan sebelum meneruskan perjalanan ke Sepulut yang jaraknya lebih kurang 40 KM. Untuk makan tengah hari tiada kedai makan atau restoran yang sesuai, jadinya terpaksalah makan makanan ringan yang dibeli di pekan Keningau. Memang terdapat  sebuah kedai makan atau restoran untuk kegunaan para pembalak yang terletak di kawasan Sepulut atau di Maliau Masin, melihat kepada label restoran tersebut memang bukan untuk makanan orang Muslim.

Sepanjang perjalanan dari Sapulut ke Maliau Basin hingga ke simpang Kalabakan  perjalanan memakan masa 4 jam melalui jalan berbatu batan, malahan ada sesetengah tempat jalan yang berlubang yang tidak memungkinkan kereta jenis salon untuk melaluinya. Tambahan ketika sampai di kawasan Maliau Basin hujan sudah mula turun, jalan yang digunakan oleh kenderan berat mengangkut kayu balak menembahkan lagi parahnya jalan tersebut. Perjalanan yang hanya ku pandu tidak melebihi 40KM/J  tidak dapat bertahan apabila jam sudah menunjukkan pukul 5:00 petang apatah lagi jalan berbatu belum dilimpasi. Aku perlu bergegas. Aku amat risau kerana waktu sembahyang magrib sudah semakin mendekat, kenderaan terpaksa kupacu sehingga 60 KM/J di kawasan Kalabakan sekalipun jalannya berbatu batan, mujur di kawasn Kalabakan batu kelikirnya agak halus dan jalan yang rata. Namun begitu, hujan renyai-renyai di Kalabakan tidak mengizinkan aku memandu lebih deras sehinggalah aku menemui sebuah masjid pada jam 5:22 petang, selepas mengerjakan solatJamak Takhir, cuaca sudah semakin gelap. Perjalanan diteruskan untuk menuju Bandar Tawau. Perjalanan yang gelap gelita tanpa lampu penyinar di bahu jalan raya, jalan raya yang sekali sekala berlupak, berlencong, memaksaku memperlahankan kenderaan. Begitu lamanya perjalanan untuk sampai ke Bandar Tawau sehingga ketika memandu sepanjang kawasan yang gelap dan suram aku tidak dapat membezakan antara jalan yang mendatar dan jalan yang mendaki, bagiku semua perjalanan hanyalah mendaki tiada yang mendatar, sehinggalah sampai di kawasan bandar yang mana lampu-lampudi bahu jalan  bersinar menerangi alam sekeliling barulah aku dapat merasakan jalan yang mendatar. Bangunan pertama yang ku laintasi yang menunjukkan aku sudah sampai di kawasan bandar ialah Kompleks Sukan Tawau.

Perjalanan yang  panjang dengan  merentasi  perkampungan, pekan, hutan belantara, leladang sawit, dusun buah-buahan, tanah berdebu, tanah licin, tanah berlupak, jalan berbatu kasar, berkelikir, hujan, panas  dan gelap akhirnya sampai di Bandar Tawau dan menatap di sebuah hotel lebih kurang jam 7:30 malam.

Pekan Nabawan

Sudah sampai ke kawasan Kalabakan

Leave a comment

Filed under Kenangan