Monthly Archives: June 2010

Simpang 4: Panchong-Layong

Jumaat lepas, aku sempat melalui jalan simpang 4 – Kg. Pancong / Kg. Layong. Malangnya aku terpaksa berpatah balik di tengah-tengah air banjir yang melintas jalan kecil. Aku tidak menyangka semakin jauh aku bergerak semakin dalam pula air yang merentasi jalan yang berbatu kelikir.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Kenangan

Wasai Sungai Langsat

Aku kurang pasti apakah nama bagi wasai di Ulu Belait (Labi) yang mula masuk di Sungai Langsat. Air terjun  di wasai ini sentiasa mencurah-curah  semasa musim hujan, namun begitu, ketika musim kemarau air yang meniti melalui juntaian akar sentiasa menitis umpama air hujan, tidak pernah berhenti.

Leave a comment

Filed under Kenangan

Antudau II

Air banjir di kawasan pedalaman bukan penghalang untuk kami sanak saudara pergi ke Ulu Tutong. Tujuan utama kami ke wasai Antudau, menangkap ikan bantang.  Beberapa tempat di kawasan jalan Rambai- Benutan ditenggelami air. Kami terpaksa menggunakan jalan balak yang berbukit bukau merentasi bukit Kereta, mengharungi bukit Ladan, sebahagian jalan masih basah, berlumpur dan agak licin. Air di kawasan Belabau, Ulu Tutong sudah surut. Kami sampai di bibir hutan Antudau pada jam 10.25 pagi. Perjalanan untuk sampai  ke karangan sungai Atudau lebih kurang 1 jam 45 minit. Agak memenatkan juga, terutama semasa berjalan mengharungi sungai yang berbatu-batan.

Sepanjang sungai kami sempat menahan perangkap ikan bantang serta sagang. Sagang memang tidak mendatangkan hasil kerana tiada ikan besar seperti keli, dalak dan spesis yang sebangsa dengannya hidup di perairan tersebut. Sesampai di kawasan wasai, aku tidak melepaskan peluang untuk mandi, snorkeling memerhatikan ikan berenang yang begitu mesra alam.  Sambil mandi manda kami menangkap bantang.

Hujan renyai-renyai semakin mencurah pada sebelah petang. Kami berangkat pulang dari wasai pada jam 3:20 petang. Sepanjang perjalanan hujan sentiasa menemani kami. Kawasan hutan agak gelap sekalipun mentari belum berlabuh sepenuhnya di ufuk barat. Semasa pulang kami menggunakan jalan bawah; Supon – Benutan , jalan licin, berhanggilut. Semasa kami sampai di kawasan Benutan air masih melintasi jalan, mujur kereta masih dapat merentasinya. Kami sampai di rumah pada jam 7:49 malam.

Leave a comment

Filed under Kenangan

Mukat Pelanduk

Cuti sekolah penggal kedua memberi peluang untukku beriadah. Kali ini riadahku hanya trapi hutan, memukat pelanduk. Musim hujan yang mengakibatkan beberapa kawasan pedalaman dilanda banjir menyulitkan untukku lebih jauh masuk ke perhutanan pedalaman. Pada musim banjir pelanduk lebih suka di kawasan tanah tinggi. Kenderaan yang paling sesuai pada musim banjir ini ialah  perahu. Distinasi ke hutan pedalaman tidak kesampian. Aku dan saudara-saudaraku melapangkan masa menahan pukat pelanduk di kawasan Telisai. Kawasan tempat memukat ini digunakan oleh tentera Gurka sebagai kawasan latihan tentera, jadinya agak sukar untuk mendapat pelanduk sekalipun ada beberapa bekas tapak kaki pelanduk berdekatan tempat kami menjaring.

Leave a comment

Filed under Kenangan

Telaga Mandian Tujuh Puteri

Berdekatan jalan raya Pasir Putih Tutong terdapat tujuh buah perigi atau telaga. Mengikut metos, telaga tersebut  digunakan tempat mandi bagi tujuh puteri kayangan. Berbagai versi cerita yang kudengar mengenai telaga tersebut, ada cerita yang hampir sama dengan lagenda perigi Tujuh Mandian Puteri di Langkawi. Di Langkawi dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi tersebut. Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Namun Telaga mandian Tujuh Puteri di Tanjung Maya bukan diintai oleh putera raja tetapi sebaliknya diintai oleh orang tempatan, Awang Rejab. Sehingga kini kawasan tersebut dijaga oleh perwaris  keturunan beliau yang tinggal di Tanjong Maya. Pada asalnya  telaga tersebut  agak kecil tidaklah sebesar sekarang. Telaga itu dibersihkan,  diperluas dan diperdalam bagi kemudahan orang awam mengunjunginya.

Kawasan Telaga Mandian Tujuh Puteri ini  agak bersih kerana  tong-tong sampah  disediakan bagi kegunaan pengunjung yang beriadah di sana disamping pondok serta titian menuju ke setiap telaga. Dikatakan babi tidak berani masuk ke kawasan tersebut sekalipun bekas tapak binatang tersebut berjuritan di kawasan yang tidak jauh dari tempat telaga tersebut. Aku sempat mandi di ketujuh-tujuh perigi tersebut. Mandi ala kadar. Airnya berwarna coklet, sejuk . Pada mulanya aku menyangka airnya ‘bahal’ atau rasa kelat paling tidak masin kalau diminum.  Kenyataannya tidak, air telaga begitu nyaman, segar dan tidak seperti yang ku sangkakan sebelumnya. Ada juga orang percaya, air telaga begitu mujarab boleh menyembuhkan beberapa penyakit.

Telaga Mandian Tujuh Puteri mempunyai keistemewaan khusus kepada mereka yang meminati alam mistik.  Ramai juga orang yang datang ke telaga ini ketika malam bulan mengembang khusunya pada bulan Rejab, Ramadhan, bulan kelahiran Nabi  dan waktu-waktu tertentu. Aku kesal melihat kawasan tersebut dicemari oleh segelintir  pengamal mistik menggunakan telaga tersebut sebagai tempat pemujaan. Semasa aku di sana aku menyaksikan masih ada sisa-sisa makanan sembahan berupa telur dan tapai. Semoga kita terlindung daripada perbuatan syirik. Sesungguhnya perbuatan syirik ini dosa besar yang boleh membawa kepada kekufuran.

10 Comments

Filed under Sejarah