Daily Archives: July 3, 2009

Kulit Kijang

Ketika di Labuan aku sempat membeli cebisan kulit kijang. Di bahagian dalam kulit tersebut tertulis beberapa ayat dan wifak. Aku tidak begitu faham apakah khasiat atau kegunaan  kulit kijang tersebut. Antara ayat yang tertulis ialah surah al-Kausar dan juga ayat yang mahfumnya “…Allah SWT  yang maha memberi rezeki…” Kemungkinan besar potongan kulit kijang ini berguna untuk menarik rezeki.

Aku membeli bukan kerana potongan kulit kijang akan memberi rezeki kepadaku, semoga Allah SWT jauhkan aku daripada sifat syirik, selama ini aku tidak membeli kulit kijang pun Allah SWT juga yang memberi rezeki, ternyata yang memberi rezeki itu hanya Allah SWT, bukan wifak, bukan kulit kijang.

Tentang kulit kijang ini, aku memang terbaca daripada buku-buku hikmat tentang kegunaannya kalau ditulis beberapa potong ayat tertentu menggunakan dakwat zafarun. Untuk mendapatkan kulit kijang bukan sesuatu yang mudah, lain halnya kalau kijang yang sudah diternak, dibela dan dibiak. Jangan pula loyar buruk dengan mengatakan, “Ambil saja kulit Toyota Kijang, selesai masalah.”

Di NBD senjata api tidak dibenarkan sekalipun hanya untuk berburu binatang. Oleh itu, kami hanya menggunakan pukat atau jaring untuk menangkap kijang. Semasa aku di alam remaja, memukat kijang memang sering kulakukan. Ada kalanya setiap hujung minggu aku bersama beberapa orang ahli keluarga pergi memburu dan memukat kijang sama ada di kampung mahupun di kawasan Telisai atau  kawasan Labi, Kuala Belait. Memukat kijang perlukan tenaga yang banyak, berbeza daripada memukat pelanduk. Memukat kijang perlukan kawasan yang dicekup ( diliun)  begitu luas jika dibandingkan memukat pelanduk yang hanya memerlukan kawasan yang sederhana luasnya malahan cukup sekadar sekelompok belukar atau di lereng buhur kalau disyaki ada pelanduk di kawasan tersebut apatah lagi kalau kawasan tersebut tumbuh belukar, semak  halingkawang  boleh dipasang pukat kerana pelanduk suka tidur dan bersembunyi di kawasan sedemikian, kalau  nasib baik dapatlah seekor dua pelanduk. Memukat kijang tidak begitu, kita terpaksa memburu agak jauh ada kalanya sampai  dua buhur atau bukit.

Sebelum memukat kijang, jaring atau pukat hendaklah dijaga agar tidak mentalih atau sial. Pukat perlu dilangir dan ditangas, ditangas dengan bulu ekor kijang juga. Biasanya kalau memukat rusa atau payau si pemilik pukat yang dilanggar oleh  rusa akan mendapat  kepala rusa tersebut, begitu juga dengan memukat kijang, kepala kijang tersebut akan dimiliki oleh pemilik jaring yang dilanggar oleh kijang.  Biasanya memukat kijang hanya dibuat oleh keluarga terdekat bukan seperti memukat rusa yang mana satu kampung boleh ikut serta beramai-ramai memburu. Memburu rusa jauh lebih mudah kerana kita hanya berdiri di tempat yang diarahkan tidak perlu masuk ke dalam hutan. Orang yang masuk ke dalam hutan hanyalah orang yang meleun, orang yang telah memukau rusa, merekalah juga yang menyeru agar rusa bergerak menuju ke arah jaring. Sekiranya mendapat rezeki, rusa melanggar jaring, semua orang akan mendapat bahagian masing-masing, hatta anak yang masih dalam kandungan juga akan mendapat bahagian. Ekstra bahagian juga bagi si punya jaring, si penabak dan juga si peleun.

Oleh kerana memukat kijang dilakukan oleh kalangan keluarga sahaja, tentang pembahagian tidak banyak masalah, cukup dibahagi lebih kurang adanya.  Ketika memburu kijang tidak boleh  mengikut jalan yang bengkang-bengkuk, jalan mesti lurus menuju ke arah pukat, semak belukar tidak boleh ditinggal-tinggalkan,  kayu-kayan, semak-samun semua mesti digegar, dipukul-pukul, diketuk-ketuk. Di depan halingkawang, halingkawang dirujuh. Di depan bilaran, bilaran dirujuh. Di depan duri, duri dirujuh. Suara yang dilontarkan ketika  memburu mesti lantang, suara tidak boleh berhenti sehingga sampai beberapa meter ke arah jaring yang dipasang. Kalau jaring bergoyang atau rerjatuh dari pacak kayu alamat kijang mengena jaring. Ada kalanya kalau kita tertinggal di belakang ketika memburu,  penunggu jaring sudah selesai menyembelih kijang.

Pada zaman sekarang , di kampung, kijang sudah sukar dijumpai apatah lagi rusa. Aktiviti berburu sudah  tidak diamalkan sewenang-wenangnya. Ini kerana  gagasan negara yang tidak membenarkan memburu binatang terkawal. Generasi sekarang tidak ramai yang pandai memukat pelanduk, kijang apatah lagi menjaring rusa, kerana mereka sudah terikat dengan undang-undang yang menghalang memburu dan membunuh margastua  simpanan khazanah negara malahan mereka  sedar betapa pentingnya hidupan liar  perlu hidup bebas dan membiak.

kkijang3

4 Comments

Filed under Uncategorized

Sungai Kedayan

Pagi Jumaat,  sebelum pukul 7:00 pagi, aku sudah sampai di kawasan belakang Mahkamah Besar, BSB. Tujuan asalku hanyalah untuk berjalan-jalan di sekitar Kg. Ujung Bukit. Aku menyusuri titian kayu menuju ke jejeair (seiras dengan  jejatas)  yang tersegam merentasi Sungai Brunei. Aku menghela nafas panjang menikmati  udara segar di Sungai Brunei. Mentari pagi bersinar cerah menambahkan lagi serinya kampung Air.  Dari atas jejeair ini aku dapat melihat Bandar Seri Begawan,  dapat melihat motor-motor sangkut berulang alik  menyusur sungai Brunei, para penumpang ada juga yang sempat mendongak ke jejeair melihatku memfokus moto sangkut yang mereka tumpangi. Aku dapat mendengar dan melihat capukan air melanda tiang-tiang rumah, aku dapat melihat tikas-tikas air di tiang-tiang rumah beserta kuriping laut dan  kerang-kerang melekat di tiang-tiang simen rumah.

Seingatku inilah kali kedua aku menyeberang menggunakan jejeair tersebut. Kali pertama semasa menyambut hari Permasyuran Hari Kemerdekaan, pada tahun 1984.  Pada tanggal 31 Disember 1984, sore waktu magrib rombongan kampung kami sudah sampai di sana bagi merayakan hari yang bersejarah kerana pada tengah malam pukul 12:oo malam pengistiharan Kemerdekaan serta laungan “Allahu Akbar” bergema di padang Taman Sultan Omar Ali Saifuddien. Aku hanya ikut ke mana jalan yang di bawa oleh orang kampung dan rombongan. Aku masih ingat kami ke sana diangkut oleh lori tentera yang meletakkan lori di kawasan aku meletakkan kereta pagi tadi. Apa yang menarik tanggal 31 Disember adalah hari kelahiranku, mudah untuk ku mengingati peristiwa tersebut kerana selain meraikan Pengistiharan Hari Kemerdekaan orang ramai juga menyambut hari lahirku… 🙂

Hembusan angin pagi Jumaat menambahkan semangatku untuk terus berjalan merentasi jejeair. Aku tertarik untuk memfoto Masjid Omar Ali Saifuddien  dengan lebih dekat. Di kawasan darat terpacak tanda Kg Sungai Kedayan A. Kini baru aku tahu yang Kg. Sungai Kedayan terletak di belakang Masjid SOAS. Apa yang menjadi persoalan di benak fikiranku, apakah kaitan nama kampung dengan orang Kedayan, sedangkan penghuni kampung tersebut bukan terdiri daripada orang Kedayan. Bagaimana  sejarah susur jalur sehingga wujudnya nama kampung tersebut. Semoga ada orang yang arif dapat menceritakan sejarah kampung tersebut sebagai bahan pengetahuan peninggalan zaman.

Setelah puas berlegar-legar di kawasan kampung Sungai Kedayan, Aku berpatah balik menuju ke kampung Ujung Bukit. Di kiri kanan kampung tersebut terdapat  tanah Perkuburan orang Islam. Kampung sebeginilah kampung terakhir yang akan kita semua kunjungi. Semoga Tuhan mengampuni dan redha kepada kita semua sebelum memasuki alam di sana.

sk1

sk2

sk3

Leave a comment

Filed under Kenangan, Renungan