Rumah Kedayan

Usai sahaja meninggalkan pejabat, aku berkesempatan melawat  Muzium Teknologi Melayu , Kota Batu. Memandangkan masa ini musim cuti persekolahan ditunda disebabkan oleh penyakit H1N1, maka jalan raya tidak begitu sesak. Dari tempat kerjaku ke sana hanya mengambil masa tidak sampai 25 minit.

Di tingkat 3, Dewan pameran mempamerkan rumah etnik Brunei. Masuk ke Dewan tersebut, dua orang penyambut tetamu tersenyum menerima kedatanganku. Diikuti oleh replika orang membuat hambulung (sagu). Aku menoleh ke kiri ke kanan, menikmati suasana yang agak suram dan gelap. Memang Dewan pameran ini dibiarkan suram dan gelap agar efek dari cahaya lampu dapat menggambarkan suasana kampung. Rumah yang mula-mula menerima kedatanganku ialah replika rumah orang Kedayan dengan tangga kambing beralikkan kayu balik angin.

Rumah Kedayan begitu ringkas, bertiangkan kayu yang ala kadar besarnya, berlantaikan buluh, beratapkan daun nipah, untuk mencantum dari tiang ke atap, tiada sebilah paku yang digunakan, semuanya menggunakan lilitan dan ikatan rotan mahupun akar. Antara jenis ikatan yang digunakan ialah ikatan angit, ikatan tindih, ikatan tapak pelanduk dan ikatan genggam ambuk.

Nama-nama  lantai dan rangka rumah hingga ke atap antaranya; sangka(r) tiang belakang, sangka(r) tap balaai, suga-suga, kasau, tetaban, penyucuk, gelagaa(r) laas, bumbung dan atap. Aku tidak begitu arif tentang nama-nama tertentu bagi rangka rumah. Aku hanya membaca lebal yang terdapat di setiap rangka tersebut.

Tinggal di rumah yang berlantaikan jalinan buluh tidaklah begitu selesa.   Semasa aku masih kecil, aku pernah tidur makan di rumah sebegini. Rumah sebegini biasanya didirikan ketika  berpadi / berhuma. Bagi mereka yang hidup lebih awal memang beginilah rumah mereka. Ini bukan rumah hanya untuk berhuma. Mereka tinggal di rumah sebegini sehingga ke anak cucu. Aku masih ingat, kalau tidur amat terasa buku dan ruas lantai buluh. Dulu, tidur tidak penting selesa asal dapat melelapkan mata , cukup sekadar satu tikar, satu bantal dan satu kain, jangan harap untuk dapat selimut, jangan harap untuk dapat tilam yang empuk, jangan harap kipas angin apatah lagi pendigin hawa. Tidur berpeluh sudah biasa apatah lagi kalau tidur dalam kelambu. Kalau hendak rasa sejuk semasa tidur tunggu sahaja pada musim hujan. Ketika hujan turun, tempias air hujan  dapat dirasakan, ada kalanya bukan lagi disebut tempias tetapi memang titisan hujan membasahi badan, mahu tidak mahu terpaksa berpindah ke tempat lain kalau hendak menyambung tidur.

Pada waktu senja, unggun api (unun api) dibuat bagi menghalau nyamuk. Tidak cukup dengan itu, asap hinggu, asap kayu tali panas  menyucuk lubang hidung. Semua ini bagi menghalau makhluk halus yang tidak diingini daripada mengganggu.

Pada waktu malam, hanya cahaya lampu pelita menerengi kegelapan. Biasanya orang tua akan bercerita  bagi mengisi masa sebelum tidur. Bunyi cengkrek bersilang dengan bunyi belalang sasat jalan, bersilang dengan bunyi tangil sumber muzik asli.  Kegelapan malam menyebabkan aktiviti begitu terhad. kalau hendak buang air kecil hanya pergi ke kawasan dapur di sana ada kawasan untuk membuang air kecil  tetapi bukan membuang air besar. Kalau hendak membuang air besar terpaksalah pergi ke tandas yang agak jauh dari kawasan rumah, itupun kalau berani kalau tidak tunggulah sehingga hari siang.

Tinggal di rumah yang serba ringkas, tidak menyukarkan bagi suri rumah mengemaskannya. Tidak perlu menyapu sampah sarap setiap hari, kerana sampah sarap akan terjatuh melalui celah-celah lantai buluh. Kalau orang yang suka merokok, debu-debu rokok dibuang melalui lubang-lubang yang berada di sana sini. Biasanya rumah akan kosong pada hari siang kerana penghuni rumah akan mencari rezeki seharian. Namun tidak ada pula kejadian kecurian berlaku sekalipun rumah sebegini tidak memenuhi piawaian keselamatan. Mungkin rumah sudah diguris, tiada orang berani mengambil resiko menceroboh ke rumah orang lain.

Walaubagaimanapun rumah sebegini di NBD hanya sebagai  rujukan generasi sekarang dan mendatang, rumah sebegini sukar didapati, mereka sudah tinggal di rumah-rumah konkrit  yang lebih selesa dan serba canggih.

Rk1

rk2

rk3

rk4

Leave a comment

Filed under Kenangan, Rencana

Komen anda:

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s