Monthly Archives: July 2009

Syarif Alwi (Raja Junjungan)

Hari Keputeraan KDYMM yang ke 63, (15 Julai), merupakan cuti kelepasan Awam, oleh kerana majlis Perhimpunan di Taman SOAS ditangguhkan aku berpeluang ke Kampong Junjungan untuk mencari makam Syarif Alwi. Mencari tempat permakaman  Syarif Alwi memaksaku  berulang alik mengelilingi kampung tersebut. Aku terkial-kial mencari tempat tersebut namun aku tidak mengalah sekalipun tidak tahu di manakah lokasi yang sebenarnya, akhirnya sampai juga di tempat tersebut setelah bertanya kepada orang kampung. Ternyata orang yang terakhir tempat aku bertanya mengajakku ke bahagian belakang rumah beliau, kerana makam tersebut betul-betul di bahagian belakang rumah tersebut.

Setelah membari salam kepada ahli makam tersebut, aku bertafakur di permakaman Syarif Alwi. Cuaca pagi beransur cerah beserta udara segar bertiup dari arah sungai. Semerbak keharuman wangi menusuk saraf hiduku ketika aku asyik bertafakur, konsentrasiku hilang apabila aku menoleh ke kanan ke bahagian halaman belakang rumah kerana aku menyangka  bau yang semerbak wangi datangnya daripada asap longgokan daun-daun kering yang dibakar oleh tuan rumah. Sungguh, bau wangi tersebut bukan berpunca dari asap longgokan daun yang dibakar.  Setelah menoleh semula ke bahagian nisan, bau semerbak sudah lenyap begitu saja.

Setelah puas  bertafakur, berdoa dan membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran aku bergerak ke beberapa  buah batu nisan yang lain.  Salah seorang keluarga  pemilik rumah di kawasan tersebut memberitahuku bahawa nisan-nisan yang lain adalah makam adik beradik / keluarga Syarif Alwi. Aku belum mengetahui sejarah sebenar tentang Syarif Alwi. Yang pasti,  Sharif Alwi bukanlah calang-calang orang kerana beliau dikenali juga sebagai Raja Junjungan.

Aku berasa puas dapat menziarahi makam Syarif Alwi.  Kalau ada kesempatan aku ingin ziarah makam tersebut lagi. Insya Allah.

sa2

SA1

Advertisements

3 Comments

Filed under Renungan

Bandar Seri Begawan

Bandar Seri Begawan (BSB), jantungnya Brunei Darussalam.  Sebelum 4 Oktober 1970 BSB dikenali sebagai Bandar Brunei. Orang Dusun meggelar bandar ini sebagai  bandar Pagun, puak Tutong pula menyebutnya sebagai Nabai. Bagi orang ramai sebut saja perkataan bandar, sudah pasti ia bermaksud BSB. Ibu Kota yang asal tidaklah seluas mana. Kalau hendak meronda-ronda di kawasan bandar, ruang lingkup kawasannya antara Jabatan Dermaga Kastam hingga ke Bangunan Pameran Alatan Kebesaran Diraja, dari Sungai Kianggih hingga ke Pendaratan perahu yayasan SHHB. Pada akhir-akhir ini BSB sudah dilaratkan  sehingga meliputi kawasaan mukim Kianggih, mukim Kota Batu, mukim Kiulap, mukim Berakas, mukim Kilanas dan mukim Gadong tanpa meninggalkan mukim-mukim di Kampung Air.

Hari Ahad, sebelum pukul 8:00 pagi, aku sudah meletakkan keretaku di ibu kota. Beberapa batang jalan raya di BSB sudah ditutup bagi memberi peluang kepada peniaga kecil-kecilan berjaja di khemah-khemah yang disediakan. Aku memulakan distinasiku menyusuri lorong di belakang  panggung Borneo (sudah tidak beroperasi). Di hujung lorong terdapat  kedai-kedai runcit menjual keperluan dapur, mereka menjual lada kering, bebawang, ikan pusu, rempah-ratus malahan apa saja keperluan dapur terdapat di sana,barang jualan diatur cara berselerak  mengikut acuan kedai runcit kampungan atau jualan ala-ala tamu.

Ketika di kawasan Dermaga Kastam lama aku terpandang sebuah jam yang sudah lama berkhidmat di sebuah kedai, masih berfungsi. Kemudian aku berjalan di kaki lima menuju sebuah kedai yang menjual alatan menangkap ikan. Beraneka jenis pukat dan jala dijual di kedai tersebut. Perjalananku di kaki lima bangunan tersebut  akhirnya sampai di kawasan lampu isyarat  menghala Sungai Kianggih, aku berpatah balik menuju Panggung Bolkiah, kedai kopi bersebelahan panggung Bolkiah masih seperti pada tahun80an. Beberapa orang sudah menjadi pengunjung setia, mereka menghirup air kopi o begitu berselera.

Di kawasan  ‘Letak Kereta  Bertingkat’ aku memerhati sekeliling, warga Indonesia, warga Filipina dan warga Bangladesh menjadi warga setia di situ. Bunyi kenderaan, asap dan susana yang sedikit gelap menjadi pencemar keindahan alam. Terdapat juga beberapa orang warga emas  sudah duduk santai di bangku-bangku perhentian bas, berpakain kemas , segak dan menarik , aku tidak tahu apakah tujuan mereka  seawal jam 8:30 pagi. Di tingkat satu, mataku dihidangkan dengan jualan beraneka  jamu  buatan  Indonesia, malahan pekerja dan pengunjungnya yang ramai juga terdiri daripada warga Indonesia.

Beberapa buah bangunan kutinggalkan, beberapa lorong kuharungi, aku ingin berjalan, dan terus berjalan. Ketika kakiku melangkah, mataku memandang dan memerhati ke kiri ke kanan ke atas ke bawah ke hadapan ke belakang manakala mindaku memikirkan dan membandingkan antara suasana sekarang dengan suasana ketikaku masih di alam kekanak hingga remaja. Perubahan dan perkembangan BSB begitu perlahan, masih ada beberapa buah bangunan kedai yang menjadi warisan kenangan.

Ketika melintasi bangunan HSBC aku tertarik kepada restoran ‘Coffee Bean’, meja kerusi, menu, poster dan juadah begitu kemas dan menarik. Aku mundar-mandir di kawasan restoran tersebut. Akhirnya aku menamatkan perjalananku melalui lorong bangunan BIBD, kemudian singgah di kedai kopi mamak bersetentangan panggung Borneo sebelum pulang.

bsb2

bsb3

bsb6

bsb4

Leave a comment

Filed under Kenangan, Pilihan

Pekan Muara

Hujan turun semenjak pagi lagi. Awan yang sentiasa membiru diselubungi awan hitam beransur cerah, hujan semakin reda pada jam 2.40 petang. Aku  keluar dari kenderaan ketika hujan masih renyai-renyai, cuaca dingin didalangi  angin  laut. Suasana nampak tenang,  tidak ramai pengunjung berkeliaran, hanya beberapa orang menyeberang  jalan, beberapa orang duduk di kedai kopi, beberapa orang berlegar-legar di kaki lima menanti hujan teduh.

Aku singgah mengalas perut di sebuah kedai makan bersebelahan restoran segera ‘Ayamku’. Sudah sekian lama aku tidak mengunjungi Pekan Muara.  Tidak banyak perubahan dan perkembangan di kawasan Pekan. Bangunan lama yang semakin usang, namun penuh bererti, nostalgia dan berharga bagi penduduk di sana.  Aku tertarik pada sebuah kedai  kopi, di bahagian hujung bangunan tempatku mengalas perut. Kedai ini sungguh klasik,  stail, penyusunan, pengurusan dan pengolahan kedai tersebut sama seperti pada tahun 80-an.

Aku berlegar-legar di kawasan pasar basah. Tiada peniaga berjual beli  ikan mahupun daging di sana, Mereka hanya membersihkan kawasan tersebut. Burung merpati juga berterbangan berlegar-legar di kawasan bangunan di seberang jalan. Banyak sungguh burung merpati, ditambah beberapa ekor burung gagak dan juga burung layang-layang.  Sekali sekala burung-burung menguasai angkasa secara berkumpulan kemudian hinggap semula di anjung atap kedai, akhirnya sebilangan besar meninggalkan kawasan tersebut. Terbang meninggalkan pekan Muara. Aku juga meniggalkan pekan Muara setelah puas berlegar-legar dan memerhatikan kawasan pekan serta mengekori  ke mana terbangnya burung-burung merpati.

pm1

pm2

pm3

Leave a comment

Filed under Kenangan

Regional Innovative Teachers Conference Sharing Session

Aku menerima pesanan ringkas (SMS) pada hari Sabtu dari Kementerian Pendidikan, aku diminta memberi sedikit perkongsian tentang hasil projek semasa mengikuti Persidangan di Kuala Lumpur yang kuhadiri pada bulan Mei yang lalu. Kebetulan juga semasa persidangan tersebut kumpulan kami dinobatkan sebagai Runner Up bersama satu kumpulan yang lain. Sebenarnya aku hanya sambil lewa saja pada hari tersebut, aku tidak menyediakan bahan yang akan dikongsi sama kerana bahan presentasi ‘Power Point’ masih kusimpan dalam komputer ribaku. Ini semua kerana akulah yang membuat Power Point untuk presantasi semasa di Kuala Lumpur. Tambahan pula aku menyangka yang hadir hanya guru-guru ICT. Biasanya kalau sesi kongsi sama tidak begitu ramai yang hadir.

6 Julai, pagi-pagi lagi aku menyiapkan kerja untuk dikongsi sama, aku mengumpul gambar-gambar dari internet, menyusun presentasi power point kerana pada jam 2:00 petang aku akan mengongsikan tiga bahagian: Bahagian 1. Senerio Semasa Persidangan (slide show). Bahagian 2. Pembentangan ICT & TEACHERS : What’s The Reality ? What Does The UNESCO Do?’ oleh Gwang Jo Kimor, Pengarah, UNESCO Bangkok (http://www.unescobkk.org/education/ict) dan Bahagian 3. projek kami yang bertajuk: Identity and Multiculturalism.

Aku hanya menyedari ketika berada di bilik Persidangan Kementerian Pendidikan bahawa tetamu Kehormatnya ialah Setia Usaha Tetap (Pendidikan Teras) Datin Paduka Dyg Afsah binti Hj Abdul Majid. Datin SUT bukanlah orang asing bagiku kerana beliau pernah menjadi  Pen. Pengarah Bahagian Menengah ketika aku bertugas di Bahagian Menenegah, Kementerian Pendidikan. Namun sekarang beiau sudah bergelar Datin Paduka ditambah lagi beliau berjawatan SUT membuatkan aku sedikit kekok dan gemuruh, ditambah para hadirin yang terdiri daripada mereka yang punya kedudukan di Kementerian Pendidikan.  Untuk mengatasi rasa gemuruh, aku berbual-bual dengan kawan-kawan, aku duduk di bangku barisan belakang, sedangkan sudah ada tempat duduk khusus buatku di barisan hadapan.

Para hadiran berduyun-duyun hadir, aku memerhati sekeliling , ternyata para hadirin terdiri daripada para Pengarah, para Pegawai Pelajaran Kanan, para Pegawai Pelajaran, para Pengetua, para Guru Besar serta beberapa wakil guru ICT. Di pintu masuk sudah tersenarai nama-nama sekolah dari keempat-empat daerah yang mana kehadiran  satu kemestian bagi yang dijemput. Aku tidak menghiraukan semua itu, aku seronok bercerita dengan kekawan lama semasa bertugas di Kementerian Pendidikan. Aku memberitahu kawan-kawan bahawa aku akan mengambil masa yang ringkas menerangkan di depan, ternyata akulah peserta yang paling cepat menyelesaikan kongsi sama sekalipun aku menayangkan slide show, menyentuh tentang pembentangan wakil UNESCO dan Projek Kumpulan G1. Semasa tayangan slide show di persidangan Kuala Lumpur dan peneranganku, aku melihat dan mendengar para hadirin seronok mendengar dan ketawa, apatah lagi aku hanya menerangkan secara bersahaja tanpa script. Malahan, Datin SUT mencelah ingin tahu apakah yang dimaksudkan dengan U-Learning. Aku hanya menerangkan secara ringkas bahawa konsep U-Learning ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang menggunakan komputer, laptop, tablet, PDA atau apa-apa jua alatan komputer yang digunakan beserta wi-fi / internet sehinggalah pengajaran menggunakan ala video-conference.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh Datin SUT serta Datin Timbalan SUT kepada pemenang dan juga peserta persidangan di Kuala Lumpur.

ms1

ms2

Leave a comment

Filed under Kenangan, Sejarah

Kulit Kijang

Ketika di Labuan aku sempat membeli cebisan kulit kijang. Di bahagian dalam kulit tersebut tertulis beberapa ayat dan wifak. Aku tidak begitu faham apakah khasiat atau kegunaan  kulit kijang tersebut. Antara ayat yang tertulis ialah surah al-Kausar dan juga ayat yang mahfumnya “…Allah SWT  yang maha memberi rezeki…” Kemungkinan besar potongan kulit kijang ini berguna untuk menarik rezeki.

Aku membeli bukan kerana potongan kulit kijang akan memberi rezeki kepadaku, semoga Allah SWT jauhkan aku daripada sifat syirik, selama ini aku tidak membeli kulit kijang pun Allah SWT juga yang memberi rezeki, ternyata yang memberi rezeki itu hanya Allah SWT, bukan wifak, bukan kulit kijang.

Tentang kulit kijang ini, aku memang terbaca daripada buku-buku hikmat tentang kegunaannya kalau ditulis beberapa potong ayat tertentu menggunakan dakwat zafarun. Untuk mendapatkan kulit kijang bukan sesuatu yang mudah, lain halnya kalau kijang yang sudah diternak, dibela dan dibiak. Jangan pula loyar buruk dengan mengatakan, “Ambil saja kulit Toyota Kijang, selesai masalah.”

Di NBD senjata api tidak dibenarkan sekalipun hanya untuk berburu binatang. Oleh itu, kami hanya menggunakan pukat atau jaring untuk menangkap kijang. Semasa aku di alam remaja, memukat kijang memang sering kulakukan. Ada kalanya setiap hujung minggu aku bersama beberapa orang ahli keluarga pergi memburu dan memukat kijang sama ada di kampung mahupun di kawasan Telisai atau  kawasan Labi, Kuala Belait. Memukat kijang perlukan tenaga yang banyak, berbeza daripada memukat pelanduk. Memukat kijang perlukan kawasan yang dicekup ( diliun)  begitu luas jika dibandingkan memukat pelanduk yang hanya memerlukan kawasan yang sederhana luasnya malahan cukup sekadar sekelompok belukar atau di lereng buhur kalau disyaki ada pelanduk di kawasan tersebut apatah lagi kalau kawasan tersebut tumbuh belukar, semak  halingkawang  boleh dipasang pukat kerana pelanduk suka tidur dan bersembunyi di kawasan sedemikian, kalau  nasib baik dapatlah seekor dua pelanduk. Memukat kijang tidak begitu, kita terpaksa memburu agak jauh ada kalanya sampai  dua buhur atau bukit.

Sebelum memukat kijang, jaring atau pukat hendaklah dijaga agar tidak mentalih atau sial. Pukat perlu dilangir dan ditangas, ditangas dengan bulu ekor kijang juga. Biasanya kalau memukat rusa atau payau si pemilik pukat yang dilanggar oleh  rusa akan mendapat  kepala rusa tersebut, begitu juga dengan memukat kijang, kepala kijang tersebut akan dimiliki oleh pemilik jaring yang dilanggar oleh kijang.  Biasanya memukat kijang hanya dibuat oleh keluarga terdekat bukan seperti memukat rusa yang mana satu kampung boleh ikut serta beramai-ramai memburu. Memburu rusa jauh lebih mudah kerana kita hanya berdiri di tempat yang diarahkan tidak perlu masuk ke dalam hutan. Orang yang masuk ke dalam hutan hanyalah orang yang meleun, orang yang telah memukau rusa, merekalah juga yang menyeru agar rusa bergerak menuju ke arah jaring. Sekiranya mendapat rezeki, rusa melanggar jaring, semua orang akan mendapat bahagian masing-masing, hatta anak yang masih dalam kandungan juga akan mendapat bahagian. Ekstra bahagian juga bagi si punya jaring, si penabak dan juga si peleun.

Oleh kerana memukat kijang dilakukan oleh kalangan keluarga sahaja, tentang pembahagian tidak banyak masalah, cukup dibahagi lebih kurang adanya.  Ketika memburu kijang tidak boleh  mengikut jalan yang bengkang-bengkuk, jalan mesti lurus menuju ke arah pukat, semak belukar tidak boleh ditinggal-tinggalkan,  kayu-kayan, semak-samun semua mesti digegar, dipukul-pukul, diketuk-ketuk. Di depan halingkawang, halingkawang dirujuh. Di depan bilaran, bilaran dirujuh. Di depan duri, duri dirujuh. Suara yang dilontarkan ketika  memburu mesti lantang, suara tidak boleh berhenti sehingga sampai beberapa meter ke arah jaring yang dipasang. Kalau jaring bergoyang atau rerjatuh dari pacak kayu alamat kijang mengena jaring. Ada kalanya kalau kita tertinggal di belakang ketika memburu,  penunggu jaring sudah selesai menyembelih kijang.

Pada zaman sekarang , di kampung, kijang sudah sukar dijumpai apatah lagi rusa. Aktiviti berburu sudah  tidak diamalkan sewenang-wenangnya. Ini kerana  gagasan negara yang tidak membenarkan memburu binatang terkawal. Generasi sekarang tidak ramai yang pandai memukat pelanduk, kijang apatah lagi menjaring rusa, kerana mereka sudah terikat dengan undang-undang yang menghalang memburu dan membunuh margastua  simpanan khazanah negara malahan mereka  sedar betapa pentingnya hidupan liar  perlu hidup bebas dan membiak.

kkijang3

4 Comments

Filed under Uncategorized

Sungai Kedayan

Pagi Jumaat,  sebelum pukul 7:00 pagi, aku sudah sampai di kawasan belakang Mahkamah Besar, BSB. Tujuan asalku hanyalah untuk berjalan-jalan di sekitar Kg. Ujung Bukit. Aku menyusuri titian kayu menuju ke jejeair (seiras dengan  jejatas)  yang tersegam merentasi Sungai Brunei. Aku menghela nafas panjang menikmati  udara segar di Sungai Brunei. Mentari pagi bersinar cerah menambahkan lagi serinya kampung Air.  Dari atas jejeair ini aku dapat melihat Bandar Seri Begawan,  dapat melihat motor-motor sangkut berulang alik  menyusur sungai Brunei, para penumpang ada juga yang sempat mendongak ke jejeair melihatku memfokus moto sangkut yang mereka tumpangi. Aku dapat mendengar dan melihat capukan air melanda tiang-tiang rumah, aku dapat melihat tikas-tikas air di tiang-tiang rumah beserta kuriping laut dan  kerang-kerang melekat di tiang-tiang simen rumah.

Seingatku inilah kali kedua aku menyeberang menggunakan jejeair tersebut. Kali pertama semasa menyambut hari Permasyuran Hari Kemerdekaan, pada tahun 1984.  Pada tanggal 31 Disember 1984, sore waktu magrib rombongan kampung kami sudah sampai di sana bagi merayakan hari yang bersejarah kerana pada tengah malam pukul 12:oo malam pengistiharan Kemerdekaan serta laungan “Allahu Akbar” bergema di padang Taman Sultan Omar Ali Saifuddien. Aku hanya ikut ke mana jalan yang di bawa oleh orang kampung dan rombongan. Aku masih ingat kami ke sana diangkut oleh lori tentera yang meletakkan lori di kawasan aku meletakkan kereta pagi tadi. Apa yang menarik tanggal 31 Disember adalah hari kelahiranku, mudah untuk ku mengingati peristiwa tersebut kerana selain meraikan Pengistiharan Hari Kemerdekaan orang ramai juga menyambut hari lahirku… 🙂

Hembusan angin pagi Jumaat menambahkan semangatku untuk terus berjalan merentasi jejeair. Aku tertarik untuk memfoto Masjid Omar Ali Saifuddien  dengan lebih dekat. Di kawasan darat terpacak tanda Kg Sungai Kedayan A. Kini baru aku tahu yang Kg. Sungai Kedayan terletak di belakang Masjid SOAS. Apa yang menjadi persoalan di benak fikiranku, apakah kaitan nama kampung dengan orang Kedayan, sedangkan penghuni kampung tersebut bukan terdiri daripada orang Kedayan. Bagaimana  sejarah susur jalur sehingga wujudnya nama kampung tersebut. Semoga ada orang yang arif dapat menceritakan sejarah kampung tersebut sebagai bahan pengetahuan peninggalan zaman.

Setelah puas berlegar-legar di kawasan kampung Sungai Kedayan, Aku berpatah balik menuju ke kampung Ujung Bukit. Di kiri kanan kampung tersebut terdapat  tanah Perkuburan orang Islam. Kampung sebeginilah kampung terakhir yang akan kita semua kunjungi. Semoga Tuhan mengampuni dan redha kepada kita semua sebelum memasuki alam di sana.

sk1

sk2

sk3

Leave a comment

Filed under Kenangan, Renungan

Rumah Kedayan

Usai sahaja meninggalkan pejabat, aku berkesempatan melawat  Muzium Teknologi Melayu , Kota Batu. Memandangkan masa ini musim cuti persekolahan ditunda disebabkan oleh penyakit H1N1, maka jalan raya tidak begitu sesak. Dari tempat kerjaku ke sana hanya mengambil masa tidak sampai 25 minit.

Di tingkat 3, Dewan pameran mempamerkan rumah etnik Brunei. Masuk ke Dewan tersebut, dua orang penyambut tetamu tersenyum menerima kedatanganku. Diikuti oleh replika orang membuat hambulung (sagu). Aku menoleh ke kiri ke kanan, menikmati suasana yang agak suram dan gelap. Memang Dewan pameran ini dibiarkan suram dan gelap agar efek dari cahaya lampu dapat menggambarkan suasana kampung. Rumah yang mula-mula menerima kedatanganku ialah replika rumah orang Kedayan dengan tangga kambing beralikkan kayu balik angin.

Rumah Kedayan begitu ringkas, bertiangkan kayu yang ala kadar besarnya, berlantaikan buluh, beratapkan daun nipah, untuk mencantum dari tiang ke atap, tiada sebilah paku yang digunakan, semuanya menggunakan lilitan dan ikatan rotan mahupun akar. Antara jenis ikatan yang digunakan ialah ikatan angit, ikatan tindih, ikatan tapak pelanduk dan ikatan genggam ambuk.

Nama-nama  lantai dan rangka rumah hingga ke atap antaranya; sangka(r) tiang belakang, sangka(r) tap balaai, suga-suga, kasau, tetaban, penyucuk, gelagaa(r) laas, bumbung dan atap. Aku tidak begitu arif tentang nama-nama tertentu bagi rangka rumah. Aku hanya membaca lebal yang terdapat di setiap rangka tersebut.

Tinggal di rumah yang berlantaikan jalinan buluh tidaklah begitu selesa.   Semasa aku masih kecil, aku pernah tidur makan di rumah sebegini. Rumah sebegini biasanya didirikan ketika  berpadi / berhuma. Bagi mereka yang hidup lebih awal memang beginilah rumah mereka. Ini bukan rumah hanya untuk berhuma. Mereka tinggal di rumah sebegini sehingga ke anak cucu. Aku masih ingat, kalau tidur amat terasa buku dan ruas lantai buluh. Dulu, tidur tidak penting selesa asal dapat melelapkan mata , cukup sekadar satu tikar, satu bantal dan satu kain, jangan harap untuk dapat selimut, jangan harap untuk dapat tilam yang empuk, jangan harap kipas angin apatah lagi pendigin hawa. Tidur berpeluh sudah biasa apatah lagi kalau tidur dalam kelambu. Kalau hendak rasa sejuk semasa tidur tunggu sahaja pada musim hujan. Ketika hujan turun, tempias air hujan  dapat dirasakan, ada kalanya bukan lagi disebut tempias tetapi memang titisan hujan membasahi badan, mahu tidak mahu terpaksa berpindah ke tempat lain kalau hendak menyambung tidur.

Pada waktu senja, unggun api (unun api) dibuat bagi menghalau nyamuk. Tidak cukup dengan itu, asap hinggu, asap kayu tali panas  menyucuk lubang hidung. Semua ini bagi menghalau makhluk halus yang tidak diingini daripada mengganggu.

Pada waktu malam, hanya cahaya lampu pelita menerengi kegelapan. Biasanya orang tua akan bercerita  bagi mengisi masa sebelum tidur. Bunyi cengkrek bersilang dengan bunyi belalang sasat jalan, bersilang dengan bunyi tangil sumber muzik asli.  Kegelapan malam menyebabkan aktiviti begitu terhad. kalau hendak buang air kecil hanya pergi ke kawasan dapur di sana ada kawasan untuk membuang air kecil  tetapi bukan membuang air besar. Kalau hendak membuang air besar terpaksalah pergi ke tandas yang agak jauh dari kawasan rumah, itupun kalau berani kalau tidak tunggulah sehingga hari siang.

Tinggal di rumah yang serba ringkas, tidak menyukarkan bagi suri rumah mengemaskannya. Tidak perlu menyapu sampah sarap setiap hari, kerana sampah sarap akan terjatuh melalui celah-celah lantai buluh. Kalau orang yang suka merokok, debu-debu rokok dibuang melalui lubang-lubang yang berada di sana sini. Biasanya rumah akan kosong pada hari siang kerana penghuni rumah akan mencari rezeki seharian. Namun tidak ada pula kejadian kecurian berlaku sekalipun rumah sebegini tidak memenuhi piawaian keselamatan. Mungkin rumah sudah diguris, tiada orang berani mengambil resiko menceroboh ke rumah orang lain.

Walaubagaimanapun rumah sebegini di NBD hanya sebagai  rujukan generasi sekarang dan mendatang, rumah sebegini sukar didapati, mereka sudah tinggal di rumah-rumah konkrit  yang lebih selesa dan serba canggih.

Rk1

rk2

rk3

rk4

Leave a comment

Filed under Kenangan, Rencana