Kulit Kijang

Ketika di Labuan aku sempat membeli cebisan kulit kijang. Di bahagian dalam kulit tersebut tertulis beberapa ayat dan wifak. Aku tidak begitu faham apakah khasiat atau kegunaan  kulit kijang tersebut. Antara ayat yang tertulis ialah surah al-Kausar dan juga ayat yang mahfumnya “…Allah SWT  yang maha memberi rezeki…” Kemungkinan besar potongan kulit kijang ini berguna untuk menarik rezeki.

Aku membeli bukan kerana potongan kulit kijang akan memberi rezeki kepadaku, semoga Allah SWT jauhkan aku daripada sifat syirik, selama ini aku tidak membeli kulit kijang pun Allah SWT juga yang memberi rezeki, ternyata yang memberi rezeki itu hanya Allah SWT, bukan wifak, bukan kulit kijang.

Tentang kulit kijang ini, aku memang terbaca daripada buku-buku hikmat tentang kegunaannya kalau ditulis beberapa potong ayat tertentu menggunakan dakwat zafarun. Untuk mendapatkan kulit kijang bukan sesuatu yang mudah, lain halnya kalau kijang yang sudah diternak, dibela dan dibiak. Jangan pula loyar buruk dengan mengatakan, “Ambil saja kulit Toyota Kijang, selesai masalah.”

Di NBD senjata api tidak dibenarkan sekalipun hanya untuk berburu binatang. Oleh itu, kami hanya menggunakan pukat atau jaring untuk menangkap kijang. Semasa aku di alam remaja, memukat kijang memang sering kulakukan. Ada kalanya setiap hujung minggu aku bersama beberapa orang ahli keluarga pergi memburu dan memukat kijang sama ada di kampung mahupun di kawasan Telisai atau  kawasan Labi, Kuala Belait. Memukat kijang perlukan tenaga yang banyak, berbeza daripada memukat pelanduk. Memukat kijang perlukan kawasan yang dicekup ( diliun)  begitu luas jika dibandingkan memukat pelanduk yang hanya memerlukan kawasan yang sederhana luasnya malahan cukup sekadar sekelompok belukar atau di lereng buhur kalau disyaki ada pelanduk di kawasan tersebut apatah lagi kalau kawasan tersebut tumbuh belukar, semak  halingkawang  boleh dipasang pukat kerana pelanduk suka tidur dan bersembunyi di kawasan sedemikian, kalau  nasib baik dapatlah seekor dua pelanduk. Memukat kijang tidak begitu, kita terpaksa memburu agak jauh ada kalanya sampai  dua buhur atau bukit.

Sebelum memukat kijang, jaring atau pukat hendaklah dijaga agar tidak mentalih atau sial. Pukat perlu dilangir dan ditangas, ditangas dengan bulu ekor kijang juga. Biasanya kalau memukat rusa atau payau si pemilik pukat yang dilanggar oleh  rusa akan mendapat  kepala rusa tersebut, begitu juga dengan memukat kijang, kepala kijang tersebut akan dimiliki oleh pemilik jaring yang dilanggar oleh kijang.  Biasanya memukat kijang hanya dibuat oleh keluarga terdekat bukan seperti memukat rusa yang mana satu kampung boleh ikut serta beramai-ramai memburu. Memburu rusa jauh lebih mudah kerana kita hanya berdiri di tempat yang diarahkan tidak perlu masuk ke dalam hutan. Orang yang masuk ke dalam hutan hanyalah orang yang meleun, orang yang telah memukau rusa, merekalah juga yang menyeru agar rusa bergerak menuju ke arah jaring. Sekiranya mendapat rezeki, rusa melanggar jaring, semua orang akan mendapat bahagian masing-masing, hatta anak yang masih dalam kandungan juga akan mendapat bahagian. Ekstra bahagian juga bagi si punya jaring, si penabak dan juga si peleun.

Oleh kerana memukat kijang dilakukan oleh kalangan keluarga sahaja, tentang pembahagian tidak banyak masalah, cukup dibahagi lebih kurang adanya.  Ketika memburu kijang tidak boleh  mengikut jalan yang bengkang-bengkuk, jalan mesti lurus menuju ke arah pukat, semak belukar tidak boleh ditinggal-tinggalkan,  kayu-kayan, semak-samun semua mesti digegar, dipukul-pukul, diketuk-ketuk. Di depan halingkawang, halingkawang dirujuh. Di depan bilaran, bilaran dirujuh. Di depan duri, duri dirujuh. Suara yang dilontarkan ketika  memburu mesti lantang, suara tidak boleh berhenti sehingga sampai beberapa meter ke arah jaring yang dipasang. Kalau jaring bergoyang atau rerjatuh dari pacak kayu alamat kijang mengena jaring. Ada kalanya kalau kita tertinggal di belakang ketika memburu,  penunggu jaring sudah selesai menyembelih kijang.

Pada zaman sekarang , di kampung, kijang sudah sukar dijumpai apatah lagi rusa. Aktiviti berburu sudah  tidak diamalkan sewenang-wenangnya. Ini kerana  gagasan negara yang tidak membenarkan memburu binatang terkawal. Generasi sekarang tidak ramai yang pandai memukat pelanduk, kijang apatah lagi menjaring rusa, kerana mereka sudah terikat dengan undang-undang yang menghalang memburu dan membunuh margastua  simpanan khazanah negara malahan mereka  sedar betapa pentingnya hidupan liar  perlu hidup bebas dan membiak.

kkijang3

2 Comments

Filed under Uncategorized

2 responses to “Kulit Kijang

  1. Takidumku

    Cerita yang menarik. Yerp, ramai generasi muda yang inda lagi pandai memukat, memburu payau, kijang anie. Inda jua dapat disalahkan dorang mun udah undang undang melarang. Tapi iatah mun dapat di dokumentarikan aktiviti aktiviti cemani sebagai kenangan kepada generasi akan datang.

  2. isnidawati binti ismail

    bagaimana saya nak dapatkan kulit kijang satu badan tanpa wifak…untuk di buat ubat ibu mertua saya yang mengalami masalah gangguan makhluk halus.

Komen anda:

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s